Penjaga anjing K9 'Blake' peluk Islam
Sinar Harian
September 23, 2023 18:52 MYT
September 23, 2023 18:52 MYT
SHAH ALAM: Selepas lebih 72 jam negara kehilangan anjing pengesan yang telah banyak berjasa dalam misi menyelamat, dikenali sebagai Blake, kini penjaganya, Salbuddin Salleh pula membuat kejutan apabila membuat keputusan untuk memeluk agama Islam pada Jumaat.
Perkara tersebut dikongsikan melalui satu hantaran di akaun TikTok @iraqmantul bersama video yang menunjukkan Salbuddin, 34, sedang melafazkan kalimah syahadah pada ketika itu.
Video berkenaan turut diletakkan dengan kapsyen ‘Kepergian mu Blake memberi hikmah kepadaku untuk berhijrah’.
Penghijrahan Salbuddin yang juga anggota bomba Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu meraih reaksi positif daripada netizen menerusi ruangan komen.
Perkongsian video berkenaan mendapat 47,900 tontonan, 4,644 tanda suka, 974 komen dan 815 hantar semula setakat jam 12.38 malam.
Salah seorang pengguna TikTok, DhiaBlake, mengucapkan tahniah kepada Salbuddin atas penghijrahannya itu.
“Syukur Alhamdulillah. Tahniah sahabatku papa Blake, selamat datang saudara seIslamku,” katanya menerusi ruangan komen dalam hantaran tersebut.
Selain itu, seorang lagi pengguna TikTok, Sally Lee, turut mendoakan semoga Salbuddin terus istiqamah dengan penghijrahannya.
“Alhamdulillah. Semoga terus istiqamah dik. Doa yang baik-baik buat kamu dan keluarga,” ujarnya.
Difahamkan, Salbuddin melafazkan kalimah syahadah di sebuah masjid di Shah Alam dan ditemani oleh bapa saudara dan sepupunya sebagai saksi pada pagi tadi.
Pada Selasa, Blake terpaksa ditidurkan (euthanized) pada jam 4.38 petang Isnin selepas dikesan menghidapi barah.
Blake yang juga dikenali antara hero terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor pada Disember tahun lepas, didiagnosis menghidap barah limfoma tahap empat pada 15 Ogos lalu.
Blake merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada 2017.
Anjing pengesan itu telah banyak menyumbang kepada kejayaan operasi pencarian yang dijalankan oleh JBPM di seluruh negara, antaranya mengesan mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian