Penipuan pelaburan: Mahkamah arah kesihatan mental bekas pengurus bank diperiksa

Bernama
Oktober 14, 2022 17:21 MYT
Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan peguam Denis Micheal Pereira. - Foto BERNAMA
KLANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan seorang bekas pengurus bank yang sepatutnya didakwa hari ini berhubung penipuan pelaburan menggunakan wang simpanan pelanggan untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Perak.
Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan peguam Denis Micheal Pereira yang mewakili lelaki berusia 59 tahun itu supaya anak guamnya dirujuk ke hospital psikiatri bagi pemeriksaan mental sebelum prosiding pendakwaan dimulakan.
Denis berkata anak guamnya kini berada dalam tempoh cuti sakit bermula 12 hingga 19 Okt ini yang dikeluarkan Jabatan Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang disebabkan masalah mental.
"Permohonan saya ini dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah. Berikutan itu, tidak boleh sebarang pengakuan direkodkan dan perlu mendapatkan pengesahan daripada hospital psikiatri terlebih dahulu," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur'ain Madihah Zulkilfi tidak membantah permohonan itu. Mahkamah menetapkan 6 Dis untuk sebutan semula kes bagi keputusan kesihatan mental lelaki terbabit.
-- BERNAMA
#pengurus bank didakwa #kesihatan mental #Hospital Bahagia Tanjung Rambutan #penipuan pelaburan
;