Penipuan eBelia Rahmah: KKD dapatkan maklumat lanjut dari Kementerian Kewangan - Fahmi
Fareez Azman
Julai 4, 2023 16:57 MYT
Julai 4, 2023 16:57 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung Isu penipuan program eBelia Rahmah daripada Kementerian Kewangan pada mesyuarat Kabinet pada Rabu.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, pihaknya memerlukan maklumat lanjut berhubung isu berkenaan sebelum sebarang tindakan boleh diambil.
"Kita sedang menunggu sedikit maklumat daripada Kementerian Kewangan. Insya-Allah esok ada mesyuarat jemaah menteri saya akan dapatkan sedikit maklumat awal supaya kita boleh teliti.
"Sekiranya ia hanya melibatkan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) atau aspek-aspek lain atau agensi-agensi lain," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir dalam program Hari Apresiasi Industri Kurier di Putrajaya pada Rabu.
Sebelum ini, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan menerima 14 aduan penipuan e-Tunai Belia Rahmah melibatkan kerugian sebanyak RM2,800.
Menurut Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, sindiket berkenaan kononnya menawarkan perkhidmatan memindahkan wang dari akaun e-dompet Touch n Go ke akaun bank mangsa.
Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.