Penipuan dalam talian semasa PKP: 14 individu ditahan, 51 kes dilaporkan

Umavathi Ramayah
Januari 27, 2021 15:03 MYT
Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, dengan penahanan 14 individu, polis berjaya menyelesaikan 31 kes PTW di sekitar Selangor. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Polis Selangor menahan 14 individu terlibat dalam kes penipuan pinjaman wang tidak wujud (PTW) dalam tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Dengan penahahan mereka, polis berjaya menyelesaikan 31 kes PTW di sekitar Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, dalam tempoh yang sama sebanyak 51 kes penipuan pinjaman wang tidak wujud (PTW) melibatkan kerugian lebih RM617,000 dilaporkan.
Jumlah tersebut katanya, menyaksikan peningkatan sebanyak 24.4 peratus kes manakala kerugian 12.8 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.
"Pada tahun lalu, hanya 41 kes dilaporkan dengan nilai kerugian hampir RM550,000 bagi tempoh terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Muhammad Yazid menjelaskan, kumpulan itu menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp sebagai modus operandi untuk menawarkan pinjaman dengan faedah yang kompetitif berbanding institusi kewangan yang lain.
Beliau memberitahu, sindiket tersebut kemudian akan mengarahkan mangsa untuk membuat sejumlah wang sebagai bayaran pemprosesan.
"Mangsa hanya menyedari dirinya tertipu selepas suspek gagal dihubungi selepas pembayaran itu dilakukan," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Muhammad Yazid menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan urusan pinjaman wang terutamanya dalam talian.
"Orang ramai perlu membuat semakan dengan insitusi-institusi kewangan berdaftar yang menawarkan pakej pinjaman bagi mengelakkan menjadi mangsa sindiket penipuan.
Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun bank scammer melalui laman web https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.
#scammer #penipuan dalam talian #Jabatan Siasatan Jenayah Komersial #IPK Selangor #Ketua Polis Negara #Polis Diraja Malaysia #pinjaman wang tidak wujud
;