Penipuan dalam talian: Dua guru kerugian lebih RM158,000
Bernama
Februari 4, 2024 16:57 MYT
Februari 4, 2024 16:57 MYT
KUANTAN: Dua guru kerugian lebih RM158,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan dalam talian termasuk dalam urusan pembelian barangan.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 51 tahun mendakwa kehilangan wang simpanan berjumlah lebih RM68,700 selepas mengisi butiran peribadi bagi pembelian peranti pembayaran tol dalam talian.
"Mangsa mendakwa melihat peranti itu diiklankan di Facebook pada 27 Jan lepas dengan harga RM150 dan telah menghantar pesanan di laman sosial tersebut sebelum diberikan pautan untuk melengkapkan pesanan.
"Selepas mengisi semua butiran yang dikehendaki, mangsa mendakwa gagal membuat pembayaran di pautan itu dan dua hari kemudian, mendapati terdapat 14 transaksi pengeluaran wang yang dibuat tanpa pengetahuannya," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Dalam kes berasingan, Yahaya berkata seorang guru wanita berusia 54 tahun mendakwa kerugian RM89,450 akibat diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.
Mangsa mendakwa menerima panggilan telefon pada 28 Ogos tahun lepas kononnya daripada kakitangan syarikat penghantaran meminta beliau menuntut barangan yang dialamatkan kepadanya.
"Mangsa menafikan sedang menunggu sebarang penghantaran, namun panggilan kononnya disambungkan ke pegawai polis yang menggertak mengatakan dirinya terlibat dalam kes dadah dan pengubahan wang haram," katanya.
Yahaya berkata mangsa seterusnya diarahkan untuk memindahkan wang ke empat akaun diberikan suspek atas alasan bagi menjalankan siasatan, yang dituruti mangsa kerana bimbang wang simpanannya dirampas.
Mangsa membuat laporan selepas gagal menghubungi 'pegawai polis' berkenaan bagi mengetahui perkembangan siasatan ke atasnya.
Orang ramai dinasihatkan supaya membuat semakan dengan pihak berkuasa jika menerima panggilan meragukan dan berhati-hati dalam berkongsi butiran peribadi serta menyemak nombor telefon dan nombor akaun di pautan https://semakmule.rmp. gov.my supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
-- BERNAMA