Penipuan bertopengkan rawatan 'ayurveda', doktor palsu bergelar 'Datuk Seri' disiasat

Umavathi Ramayah
Januari 22, 2025 13:21 MYT
Anbalagan berkata, siasatan itu dilakukan susulan tular beberapa hantaran mengenai doktor palsu itu di media sosial, sejak kebelakangan ini.- Gambar fail
SERDANG: Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang doktor rawatan tradisional 'ayurveda' palsu bergelar 'Datuk Seri' yang didakwa menawarkan rawatan tanpa lesen sah di Puchong.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, siasatan itu dilakukan susulan tular beberapa hantaran mengenai doktor palsu itu di media sosial, sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, semakan mendapati, lelaki itu menawarkan rawatan 'ayurveda' tanpa lesen atau pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau mana-mana agensi berkaitan.
"Selain itu, serbuan yang dilakukan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) semalam (Selasa) mendapati premis tersebut juga tidak memiliki lesen untuk menjalankan perkhidmatan kecantikan dan penjagaan kesihatan.
"Susulan itu, MBSJ menyita premis berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Anbalagan memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan atas penggunaan anugerah tidak diiktiraf.
"Kes masih di peringkat siasatan dan polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan komentar yang boleh mengganggu proses siasatan," tambahnya.
Berdasarkan perkongsian di akaun TikTok, selain di Puchong, suspek juga dipercayai mempunyai beberapa cawangan lain di Selangor, Johor, Perak dan Pulau Pinang.
Baru-baru ini, seorang wanita tampil mendedahkan bahawa ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang kronik, mendapatkan rawatan 'ayurveda' daripada suspek selama enam bulan.
Dalam konsultasi awal, suspek didakwa meminta mangsa menghentikan pengambilan ubat hospital dengan segera, sambil meyakinkan bahawa penyakitnya boleh sembuh sepenuhnya hanya dengan rawatan dan ubat 'ayurveda' yang disediakan.
Sepanjang tempoh enam bulan tersebut, mangsa dipercayai telah membelanjakan kira-kira RM10,000 untuk rawatan. Namun begitu, mangsa dilaporkan meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, anak mangsa difahamkan membuat laporan polis terhadap pusat perubatan 'ayurveda' berkenaan di Puchong.
Hasil pemantauan Astro AWANI di akaun TikTok suspek mendapati, suspek secara terbuka mendakwa mampu menyembuhkan penyakit buah pinggang kronik.
Sebahagian besar pesakit yang mendapatkan rawatan dipercayai daripada kalangan masyarakat India.
#doktor palsu #rawatan tradisional 'ayurveda' #A A Anbalagan #bergelar 'Datuk Seri'
;