Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mendedahkan penipuan itu juga berkembang dengan modus operandi baharu, seperti taktik penyamaran sebagai pihak berkuasa.
Teo berkata, sejumlah 274 siaran tajaan di Facebook yang menyamar sebagai ejen Jabatan Peguam Negara (AGC) telah dialih keluar dalam tempoh seminggu.
“Bukan MCMC tak berusaha untuk turunkan kandungan berunsur penipuan tapi pada masa yang sama kita tak nampak ini sebagai pendekatan yang efektif.
“Situasi sekarang sudah sampai ke tahap Meta membenarkan scammer menyamar sebagai AGC dan buat hantaran di Facebook, menyatakan AGC ada satu pasukan petugas khas untuk membantu mangsa scam dapatkan balik kerugian mereka.
“Bukan satu hantaran tetapi 274 hantaran di Facebook, semua adalah kandungan berbayar. Ini bermaksud scammer bayar Meta untuk menipu pengguna,” katanya.
Jelasnya, penipuan dalam talian sebenarnya bermula di peringkat paling asas, bermula dengan proses saringan yang dijalankan Meta yang disifatkan lemah dan bermasalah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Kertas Putih Teens, Tech and Trust: Navigating Social Media in Malaysia oleh Inisiatif Penyelidikan Sosial dan Ekonomi (SERI), pada Isnin.
Dalam pada itu, Teo berkata Kertas Putih berkenaan akan memberikan cadangan tentang cara terbaik menangani risiko di media sosial, sambil mengekalkan manfaat yang boleh diperoleh.
Beliau menekankan usaha kerajaan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, termasuk Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian, pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan pengenalan pelesenan untuk platform internet utama mulai 1 Januari depan.
“Pencapaian baru-baru ini termasuk kelulusan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Talian Rabu lalu di Dewan Rakyat, yang mewajibkan langkah keselamatan platform yang lebih ketat, melindungi kanak-kanak bawah 13 tahun, dan mengehadkan akses kepada kandungan berbahaya.
“Kami bersedia untuk membahaskan Rang Undang-undang minggu ini, dan kami berharap mendapat sokongan daripada Senator juga.
“Selain itu, kita juga ada pindaan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menangani penyalahgunaan platform dengan lebih baik dan meningkatkan perlindungan bagi kumpulan yang terdedah. Kita akan membahaskan Pindaan di Dewan Negara hari ini.
“Mulai 1 Januari 2025, pemesejan internet dan penyedia media sosial dengan lebih lapan juta pengguna di Malaysia akan memerlukan lesen penyedia perkhidmatan aplikasi dan pematuhan kepada kod tatakelakuan mengenai kandungan berbahaya.
“Langkah-langkah ini mewakili kemajuan yang ketara, tetapi seperti yang disebutkan dalam Kertas Putih, kami menyedari bahawa perundangan sahaja tidak dapat menyelesaikan pelbagai cabaran media sosial,” ujarnya.
Tambahnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) secara aktif bekerjasama dengan penyedia platform untuk mengalih keluar sejumlah 255,745 kandungan berbahaya tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, penipuan menyumbang 21.5 peratus (56,294 siaran), manakala perjudian dalam talian membentuk majoriti sebanyak 63.59 peratus (167,042 siaran).
Teo berkata dari Disember 2022 hingga Disember 2024, sebanyak 1,947 kandungan berbahaya yang melibatkan eksploitasi kanak-kanak telah dialih keluar, dengan 71.2 peratus berkaitan dengan penderaan seksual kanak-kanak.