Peningkatan subsidi: 'Kerajaan akan semak, nilai semula' - Tengku Zafrul
Firdaus Azil
Julai 19, 2022 11:20 MYT
Julai 19, 2022 11:20 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyemak dan menilai semula program subsidi dan insentif, serta meneliti sumber hasil sedia ada bagi menampung penambahan subsidi.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, strategi itu perlu dilaksanakan memandangkan jumlah perbelanjaan subsidi tahun ini dijangka mencecah RM80 bilion.
Ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Selasa, Tengku Zafrul berkata, peningkatan subsidi adalah kerana anggaran yang dibuat sewaktu Bajet 2022 adalah berdasarkan harga minyak mentah AS$66 setong, berbanding harga kini mencecah AS$100 setong.
Selain itu, purata harga minyak kelapa sawit juga telah melebihi RM6,000 setan metrik, peningkatan sejak Mac lepas, berbanding anggaran RM3,300 setan metrik sewaktu Bajet dibentangkan
“Sehubungan itu, harga minyak mentah dan sawit yang lebih tinggi tahun ini dijangka akan menjana hasil cukai tambahan melebihi RM10 bilion.
“Tambahan kepada itu, momentum pemulihan melebihi jangkaan dengan pertumbuhan KDNK negara pada suku pertama tahun ini amat memberangsangkan pada kadar 5%; dan dijangka lebih kukuh pada suku kedua,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Won Hai, yang ingin mengetahui strategi kerajaan untuk membiayai jumlah keseluruhan subsidi yang dijangka mencecah RM80 bilion bagi tahun 2022.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan juga telah mengeluarkan Pekeliling Perbendaharaan 3.1 pada 14 Julai 2022 mengenai langkah penjimatan untuk dilaksanakan oleh semua Kementerian dan agensi kerajaan bagi menampung sebahagian daripada keperluan subsidi tambahan.
“Antara langkah pekeliling tersebut adalah kawalan terhadap lawatan ke luar negara, barangan import, serta penangguhan perbelanjaan yang belum komited.
“Namun, saya juga ingin menegaskan bahawa langkah-langkah yang berpaksikan kesejahteraan rakyat akan tetap diteruskan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, kerajaan masih dalam peringkat awal pengujian mekanisme pemberian subsidi bersasar.
Beliau berkata, berdasarkan tempoh masa sedia ada, pembangunan dan pengujian penuh mekanisme tersebut memerlukan tempoh tiga hingga enam bulan sebelum boleh dilaksanakan sepenuhnya.
“Dalam pelaksanaan subsidi bersasar ini, kerajaan akan merancang secara berfasa supaya ia tidak menaikkan inflasi secara mendadak, atau menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi.