Peningkatan prestasi subjek STEM SPM 2023 bakal lahirkan generasi berpacu inovasi - MOSTI

Bernama
Mei 28, 2024 04:40 MYT
MOSTI memaklumkan semua empat mata pelajaran elektif STEM yang melibatkan mata pelajaran Sains Tulen iaitu Fizik, Kimia dan Biologi serta Matematik Tambahan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
PUTRAJAYA: Peningkatan prestasi subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 adalah langkah bermakna ke arah membina rakyat Malaysia yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan berpacukan inovasi.
Menerusi kenyataan pada Selasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan semua empat mata pelajaran elektif STEM yang melibatkan mata pelajaran Sains Tulen iaitu Fizik, Kimia dan Biologi serta Matematik Tambahan menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
Mata pelajaran Fizik mencatatkan peningkatan prestasi tertinggi iaitu sebanyak 0.22 mata menjadikan mata pelajaran berprestasi terbaik dalam kumpulan ini dengan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) 4.15 mata.
"Pembelajaran fizik adalah amat penting dalam pelbagai bidang sains, justeru murid yang menguasai bidang ini berpotensi menjadi bakat dalam bidang kejuruteraan, sains perubatan dan pelbagai bidang teknologi.
"Ujian Amali Sains (UAS) sebagai satu daripada kertas peperiksaan Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan pula adalah selari dengan strategi memartabatkan pendidikan STEM di bawah Teras 4 Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030," menurut kenyataan itu.
Pada Isnin, Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata seramai 11,713 calon SPM 2023 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran.
MOSTI memaklumkan peningkatan pencapaian bagi semua mata pelajaran elektif STEM dan keseluruhan keputusan SPM adalah satu indikator penting untuk menyokong pelbagai inisiatif bagi meningkatkan minat murid terhadap STEM melalui kerjasama secara Whole-of-Government dan Whole- of-Nation.
"MOSTI melalui Jawatankuasa Pemandu Bakat STI (sains, teknologi dan inovasi) amat teruja dengan peningkatan pencapaian bagi semua mata pelajaran STEM di peringkat SPM yang menjadi langkah yang sangat bermakna dalam mencorakkan pola pendidikan pada peringkat yang lebih tinggi.
"MOSTI optimis melalui pemerkasaan pendidikan STEM yang dinamik akan merealisasikan impian menjadikan masyarakat Malaysia berpengetahuan tinggi dan berfikiran kritikal bagi mendepani era ekonomi digital dan teknologi disruptive berpacukan teknologi dan inovasi tinggi," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, MOSTI memaklumkan trend pelajar yang mengambil mata pelajaran penting seperti Matematik Tambahan dan tiga subjek sains tulen yang menjadi prasyarat untuk membolehkan mereka ke peringkat pengajian tinggi dalam aliran teknologi tinggi berkaitan didapati menurun.
-- BERNAMA
#MOSTI #STEM #SPM 2023 #inovasi
;