Peningkatan pengundi, SPR kaji jumlah PDM

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 15, 2019 18:28 MYT
SPR menjangkakan pertambahan jumlah pengundi kepada 22.7 juta pada PRU akan datang berbanding 14.9 juta pada PRU14 yang lalu. - Gambar fail
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini sedang melakukan kajian dan pemeriksaan di semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) di seluruh negeri sama ada sekolah atau dewan sedia ada yang dijadikan lokasi mengundi.
Ia bagi memastikan PDM mampu menampung jumlah pengundi yang dijangka meningkat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Menurut Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun, pihaknya menjangkakan pertambahan jumlah pengundi kepada 22.7 juta pada PRU akan datang berbanding 14.9 juta pada PRU14 yang lalu.
Ia berikutan katanya dianggarkan terdapat empat juta individu berusia 21 tahun yang telah layak mengundi masih belum berdaftar ketika ini.
Ini termasuk sekiranya kelayakan mengundi umur 18 tahun dikuatkuasakan yang dijangkakan bilangannya akan bertambah sebanyak 500,000 setahun.
Ujarnya, bilangan sekolah atau dewan yang digunakan pada PRU-14 lalu didapati tidak lagi mampu menampung pertambahan jumlah pengundi sekaligus memerlukan kawasan tambahan.
Jelas beliau, penambahan pusat mengundi adalah penting bagi mengelak pengundi yang datang terpaksa beratur dan menunggu terlalu lama di pusat mengundi.
"Sebenarnya sekarang kita tengah pergi buat pemeriksaan di daerah-daerah mengundi. SPR hendak tengok kesesuaian pusat mengundi yang ada dan kita hendak tengok penambahan jumlah pengundi dalam sesuatu daerah tu berapa banyak.
"Kemudian kita kena lihat sekolah-sekolah kita, dewan-dewan yang ada sekarang ini (sama ada) dapat menampung pertambahan pengundi pada masa akan datang.
"Kalau tidak dapat, maka kita terpaksa cari, tetapi di sesetengah daerah mengundi macam di Kuala Lumpur contohnya sekolah pun dah tak cukup. Maka kita sedang kenal pasti dimana yang kita dapat sewa dewan, atau pun dimana yang ada tempat lapang untuk kita dirikan khemah mengundi," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Forum Demokrasi di Universiti Sains Malaysia, di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Azhar menasihatkan pengundi supaya mengemaskini alamat dalam sistem pendaftaran bagi membolehkan SPR menetapkan kawasan mengundi mengikut alamat pengundi.
#Azhar Azizan Harun #Malaysia #Pengerusi SPR #pilihan raya #pilihan raya umum #PRU14 #SPR #Suruhanjaya Pilihan Raya
;