Peningkatan pendapatan datang dari tadbir urus yang baik - Ketua DAPSY Kuching

Israr Khalid
November 3, 2022 05:00 MYT
Menurut Michael Kong, penurunan kos sara hidup dengan subsidi adalah sekadar langkah jangka masa pendek. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Ketirisan urus tadbir adalah penyebab pendapatan negara sukar berkembang yang akhirnya rakyat menerima bebannya.
Maka tegas Ketua DAPSY Kuching, Michael Kong Feng Nian, gejala rasuah dan penyelewengan perlu dibanteras sebaiknya supaya hasil negara dapat mekar untuk memangkin pembangunan yang membawa kesejahteraan.
Dengan menghapuskan dua amalan keji itu, kata Michael, lebih banyak syarikat luar akan lebih yakin untuk melabur dalam negara ini yang sekaligus dapat mengembangkan pendapatan negara.
“Sebagai contoh kalau kita lihat Pulau Pinang iaitu satu negeri kecil yang langsung tiada sumber asli tapi tahun 2021, Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah RM76.2 bilion, manakala pada tahun sama Sarawak cuma melaporkan FDI RM23.16 bilion.
“Jadi ini adalah hasil daripada urus tadbir yang baik,” katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Beliau melihat langkah menurunkan kos sara hidup dengan suntikan subsidi semata-mata hanya untuk jangka pendek merugikan berbanding melaksanakan dasar yang menumpukan penggandaan pendapatan negara.
“Apa-apa dasar untuk meningkatkan pendapatan mesti dilaksanakan secara bersasar dan impak peningkatan pendapatan ini hanya akan dirasai oleh rakyat pada masa depan.
“Oleh kerana itu pada pendapat saya, pentingnya adalah satu sistem pentadbiran berasaskan tadbir urus yang baik," katanya.
Peningkatan pendapatan datang dari tadbir urus yang baik - Ketua DAPSY Kuching
#Malaysia Memilih #PRU15 #Michael Kong Feng Nian #DAPSY
;