Peningkatan pelaburan asing bukti reformasi Pakatan Harapan berjaya - Mat Sabu
Firdaus Azil
Januari 16, 2020 12:50 MYT
Januari 16, 2020 12:50 MYT
Laporan media antarabangsa mengenai peningkatan pelaburan asing ke negara ini menunjukkan Reformasi Pakatan Harapan berjaya, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.
Menteri Pertahanan itu berkata, ia sekali gus membuktikan kepercayaan pelabur asing ke Malaysia kembali meningkat sejak kerajaan bertukar pentadbiran.
“Tahun 2020 ini, kerajaan akan bekerja dengan lebih keras lagi untuk memulihkan ekonomi negara agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Fokus ini tidak harus terganggu dengan isu-isu lain termasuk isu-isu perkauman dan agama yang sengaja dimainkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam artikel bertarikh 15 Januari itu, akhbar Straits Times melaporkan dana asing kembali memasuki negara ini, walaupun di sebalik ketidaktentuan politik sejak Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pada 2018.
Menurut laporan itu, bon yang dicatat memasuki pasaran negara ini bernilai RM20 bilion, melebihi dana RM11 bilion yang meninggalkan pasaran stok, dan beberapa penganalisis melihat ia sebagai tanda positif reformasi pentadbiran Pakatan Harapan.
Mohamad berkata, atas sebab itu, isu peralihan kuasa juga tidak harus terus-menerus dibangkitkan, kerana ia hanya akan menganggu tugas kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara.
“Biarlah Majlis Presiden PH yang menentukannya,” kata Ahli Parlimen Kota Raja itu lagi.
#Amanah
#ekonomi
#kerajaan
#Malaysia
#Mat Sabu
#Media
#Mohamad Sabu
#Pakatan Harapan
#Parti Amanah Negara
#pelaburan