Peningkatan paras Sungai Golok tak halang rutin penduduk seberang sempadan
Adam Darwish
Disember 5, 2022 05:30 MYT
Disember 5, 2022 05:30 MYT
RANTAU PANJANG: Peningkatan paras air Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand tidak menghalang penduduk di kawasan bersempadan untuk terus menjalankan aktiviti seharian mereka.
Tinjauan Astro AWANI ke dua jeti dekat pangkalan Pound dan Gergaji di pekan Rantau Panjang mendapati orang ramai terutama masyarakat dari kedua-dua belah negara masih menggunakan khidmat bot tambang untuk bergerak.
Seorang pengemudi bot tambang dikenali sebagai Mohd, 30 an berkata, pengangkutan air seperti bot dan perahu masih banyak digunakan penduduk tempatan di kedua-dua belah negara kerana menjimatkan masa.
Katanya setiap hari ada sahaja penduduk yang menggunakan khidmatnya dengan tambang semurah RM2 untuk satu hala dan semakin bertambah apabila hujung minggu.
Menurutnya kesemua yang menggunakan jeti di kedua-dua pangkalan di situ adalah penduduk tempatan sahaja malah peningkatan paras air di situ sudah dianggap biasa dan masih boleh diharungi dengan bot.
"Kami sebenarnya sudah mengenali setiap penumpang bot kerana ada yang setiap hari menggunakan bot untuk lebih cepat termasuk membeli belah di pasar berdekatan.
"Mereka ini biasanya ada pertalian saudara di sini dan mengambil kesempatan mengunjungi rumah saudara," katanya yang sudah lebih 10 tahun mengusahakan bot tambang.
Mohd berkata meskipun melepasi sempadan menggunakan bot dilihat berisiko namun keselamatan setiap penumpang tetap diutamakan oleh pemilik bot termasuk menyediakan jaket keselamatan.
"Kita tahu apabila musim tengkujuh paras air meningkat dan arus juga deras tetapi dengan pengalaman yang ada kita akan pastikan tiada sebarang kemalangan akan berlaku," katanya.
Sementara itu, penduduk pekan Rantau Panjang yang dikenali sebagai Malik, 40-an berkata penggunaan bot dan perahu oleh penduduk tempatan di situ bagi menyeberang sungai memang menjadi amalan sejak berdekad yang lalu.
Katanya sekiranya menggunakan laluan darat sudah pasti memakan masa yang lama kerana jaraknya yang agak jauh berbanding laluan sungai.
"Sungai Golok ini bukannya luas sangat, hanya 70 hingga 100 meter sahaja jarak memisahkan antara Malaysia dan Thailand.
"Selain di pekan Rantau Panjang, di pekan lain yang bersempadan dengan negara jiran kebanyakan penduduk lebih gemar menggunakan bot seperti di Pengkalan Kubor, Tumpat," katanya.