Peningkatan kos operasi: Pengusaha bas ekspres berdepan masalah kewangan
Bernama
Januari 29, 2024 18:25 MYT
Januari 29, 2024 18:25 MYT
KOTA BHARU: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) dan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) berkata ada antara ahlinya mengalami masalah kewangan berikutan peningkatan kos operasi.
Yang DiPertua PEMBAWA Laili Ismail berkata kenaikan kos tidak terkawal menyebabkan persaingan tidak sihat dalam kalangan pengusaha bas yang berlumba-lumba menurunkan harga demi menarik perhatian pengguna tanpa memikirkan kesan jangka panjang sekali gus menjejaskan harga pasaran.
"Kesan daripada pandemik COVID-19 telah menyebabkan berlaku kenaikan kos seperti harga badan bas sebanyak 39 peratus, harga casis bas pula meningkat 44 peratus dan harga alat ganti turut meningkat 25 peratus.
"Walaupun kenaikan penumpang meningkat sehingga 80 peratus iaitu hampir mendekati angka kenaikan penumpang sebelum pandemik COVID-19, tetapi masih ada lagi pengusaha bas mengalami krisis kewangan disebabkan peningkatan kos operasi," katanya pada sidang media di Pejabat Urusan Ekspres Perdana, di sini hari ini.
Menurut Laili, pengusaha bas ekspres juga berdepan masalah kekurangan pemandu kerana rakyat Malaysia lebih cenderung untuk bekerja di luar negara seperti Singapura yang menawarkan gaji berlipat ganda.
"Hampir kesemua pengurusan terminal kini mengamalkan Sistem Tiket Berpusat (CTS) seperti terminal Klang dan Shah Alam di Selangor, Ipoh di Perak dan Larkin, Johor sehingga menyebabkan operator terpaksa membayar caj komisen 10 peratus atau purata RM5 untuk setiap keping tiket yang dijual.
"Selain bebanan peruntukan komisen, Online Ticketing Agent (OTA) dan CTS juga menambah bebanan operator melalui kelewatan pembayaran hasil jualan tiket yang memakan masa tujuh hingga 19 hari sekali gus menganggu operasi syarikat operator kerana tidak dapat membuat pusingan modal susulan wang tidak diterima dalam tempoh sepatutnya," katanya.
Beliau berkata PEMBAWA dan PMBOA juga telah menghantar memorandum kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat pada 21 Dis tahun lepas berkenaan penambahbaikan kategori dan spesifikasi perkhidmatan bas ekspres tetapi masih belum mendapat maklum balas.
"Kami adalah pemain industri sebenar yang sanggup menanggung hutang jutaan ringgit demi menyediakan perkhidmatan pengangkutan untuk kemudahan rakyat di negara ini.
"Sekiranya tiada tindakan segera diambil oleh pihak kerajaan, pengusaha bas ekspres bakal berdepan penutupan operasi syarikat dan menyebabkan ribuan pekerja serta pemandu bas bakal hilang pekerjaan sekali gus menyebabkan rakyat tidak lagi dapat menikmati kemudahan bas ekspres," katanya.
-- BERNAMA