Peningkatan kos haji kerana faktor luar, TH komited tambah baik bantuan

Firdaus Azil
November 8, 2023 12:18 MYT
Mohd Na’im berkata, Tabung Haji telah berusaha untuk mengawal peningkatan kos tersebut dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peningkatan kos haji tidak dapat dielakkan kerana ia terdedah kepada faktor di luar kawalan Tabung Haji, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, antara faktornya ialah kadar inflasi dan percukaian di Arab Saudi; kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia berbanding riyal dan dolar Amerika.
Beliau berkata, faktor lain ialah projek pembesaran yang berterusan di Makkah dan Madinah yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan, dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.
“Di samping itu, terdapat juga caj-caj yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di Tanah Suci.
“Kenaikan kadar cukai tambah nilai (Value Added Tax) di Arab Saudi daripada 5% kepada 15% bermula bulan Julai 2020 juga adalah salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar), yang mahu tahu faktor peningkatan kos mengerjakan haji, serta syarat dan kelayakan baharu yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, Tabung Haji telah berusaha untuk mengawal peningkatan kos tersebut dengan memeterai beberapa perjanjian kontrak jangka panjang untuk penerbangan, penginapan, sajian makan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.
Dengan cara tersebut beliau berkata, harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.
Selain itu beliau berkata, Tabung Haji juga sentiasa menasihati para pendeposit dan bakal haji untuk sentiasa merujuk kepada pihaknya bagi mendapatkan maklumat tepat, dan terkini melalui platform media sosial dan juga portal laman rasmi Tabung Haji.
“Sebagai sebuah institusi Islam yang komited dalam memastikan kebajikan jemaah haji terpelihara, Lembaga Tabung Haji akan terus memberi bantuan kewangan untuk jemaah haji muassasah yang layak.
“Kos haji, kadar bayaran haji dan bantuan kewangan haji akan diumumkan setelah perbincangan secara menyeluruh dibuat dengan mengambil kira keupayaan dan kedudukan kewangan Tabung Haji,” katanya lagi.
#Dewan Rakyat #Tabung Haji #kos haji #kenaikan kos haji
;