Peningkatan kesalinghubungan dengan Indonesia kukuhkan sektor pelancongan - Duta Malaysia
Bernama
November 19, 2023 17:52 MYT
November 19, 2023 17:52 MYT
JAKARTA: Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin yakin bahawa peningkatan kesalinghubungan akan dapat menambah ketibaan pelancong antara Malaysia dan Indonesia.
Meskipun kesalinghubungan ketika ini belum mencapai tahap prapandemik, kedua-dua negara dihubungkan dengan pembukaan semula laluan seperti Jakarta-Kuching-Jakarta oleh AirAsia Indonesia dan Kertajati-Kuala Lumpur-Kertajati oleh AirAsia Malaysia dan Malaysia Airlines.
"Kemunculan syarikat penerbangan baharu - TransNusa - juga menyediakan alternatif untuk perjalanan Malaysia-Indonesia," katanya kepada pemberita di Pameran Makanan dan Perjalanan Malaysia 2023 di QBig BSD City Tangerang di Banten, anjuran Tourism Malaysia Jakarta.
Beliau berkata pada pertemuan dengan kerajaan wilayah Sumatera Utara, Riau dan Kalimantan Barat telah memberikan harapan untuk kesalinghubungan yang lebih baik antara Malaysia dan Indonesia yang akan memberi manfaat kepada rakyat, negara dan rantau ini.
Malaysia menyasarkan untuk menarik 15.6 juta pelancong antarabangsa tahun ini, khususnya 2.68 juta pelancong Indonesia.
Pada separuh pertama 2023, Malaysia mencatatkan 1.45 juta ketibaan pelancong Indonesia dan kira-kira 1.2 juta rakyat Malaysia melawat Indonesia, dibantu dengan penerbangan sebanyak 590 seminggu.
Sementara itu, acara yang berlangsung dari 16 hingga 19 Nov yang menarik kira-kira 20,000 pengunjung itu, menawarkan peluang unik untuk menikmati hidangan Malaysia seperti nasi lemak, roti canai dan cendol, selain rempah ratus Pulau Pinang dan buah durian Musang King.
Pengarah Tourism Malaysia Jakarta Junus Suhid berkata pameran itu berperanan sebagai platform untuk hadirin meneroka destinasi menarik di Malaysia dan mendapatkan maklumat tentang kemudahan penjagaan kesihatan dan pendidikan.
-- BERNAMA
#peningkatan kesalinghubungan
#Malaysia
#Indonesia
#Duta Besar Malaysia ke Indonesia
#Syed Md Hasrin Tengku Hussin