Peningkatan kes positif petugas kesihatan dibimbangi jejaskan perkhidmatan - Pakar kesihatan
Hasimi Muhamad
Februari 6, 2021 12:43 MYT
Februari 6, 2021 12:43 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan kes positif dalam kalangan petugas kesihatan dibimbangi boleh menjejaskan perkhidmatan kepada masyarakat secara keseluruhan.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, ia boleh memberi risiko pendedahan jangkitan kepada rakan setugas.
Ia sekali gus menyebabkan petugas kesihatan lain turut perlu menjalani kuarantin.
"Jadi sehubungan itu, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa dipertingkatkan.
"Dalam konteks ini juga pada pandangan saya bukan penekanan terhadap kakitangan kesihatan tetapi juga di pihak pengurusan.
"Dari masa ke masa perlu turun padang bersama kakitangan kesihatan untuk memberikan motivasi dan pendidikan untuk memastikan mereka terus patuh nasihat-nasihat SOP yang perlu dilaksanakan," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata seramai 4,756 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangkiti COVID-19 setakat ini.
Daripada jumlah itu seramai 3,101 melibatkan petugas wanita dan 1, 655 petugas lelaki.
Bagaimanapun, jelas Dr Noor Hisham kebanyakan mereka mendapat jangkitan dalam komuniti dan bukannya di fasiliti tempat mereka bertugas.
#Dr Noor Hisham Abdullah
#Kementerian Kesihatan
#kes positif
#COVID-19
#petugas kesihatan
#SOP
#lelaki
#wanita