Peningkatan kes positif di Sarawak dikesan di lokaliti PKPD
Fadilah Sulaiman
Julai 22, 2021 20:51 MYT
Julai 22, 2021 20:51 MYT
KUCHING: Sarawak hari ini mengisytiharkan dua kluster baharu melibatkan kluster komuniti di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Saratok menjadikan jumlah 94 kluster aktif di seluruh negeri.
Kluster tersebut ialah Kluster Abu Bengang dan Kluster Ulu Senulau, Saratok yang melibatkan penduduk di rumah panjang dan telah merekodkan masing-masing 164 kes positif termasuk kes indeks.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Khamis melaporkan penambahan mendadak kes positif COVID-19 iaitu 644 kes berbanding 261 kes pada Rabu susulan aktiviti pengesanan kes aktif (ACD) di kawasan PKPD.
“Pada hari ini, kes yang banyak dikesan mengikut daerah adalah berpunca saringan bersasar di lokaliti di bawah PKPD Kampung Seratau (Kuching) dengan 145 kes, lokaliti di bawah PKPD di Rumah Kambieng, Abu Bengang, Krian (Saratok) dengan 126 kes, Penjara Pusat Miri (Miri) dengan 120 kes, dan Penjara Pusat Sri Aman (Sri Aman) dengan 25 kes,” jelas kenyataan itu.
Daripada jumlah tersebut, 66 kes telah menunjukkan gejala dan simptom manakala 578 kes lagi tidak bergejala semasa disaring.
Selain itu, JPBN Sarawak juga telah memgisytiharkan PKPD di tiga lokaliti rumah panjang dalam tempoh 21 Julai hingga 6 Ogos di Rumah Ama, Nanga Keluton Entabai di daerah Pakan, Rumah Labo Anak Abit, Jambatan Lemua, Bakong dan Rumah Ambon Anak Menggat, Jambatan Lemua, Bakong di daerah Beluru.