Peningkatan kes: JPBN Sarawak sedia tambah 14 PKRC di bahagian Kuching

Munirah Mudzamli
Ogos 22, 2021 16:15 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersedia untuk menambah 14 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di bahagian Kuching.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata penambahan itu perlu bagi menampung kes COVID-19 yang kian meningkat di zon selatan Sarawak.
Katanya, jumlah penambahan tersebut akan merangkumi keperluan lebih kurang 5,000 katil termasuk di daerah Bau, Lundu, Samarahan, Serian dan Simunjan.
“Sekarang kita ada 15 PKRC di zon selatan. Jumlah katil adalah sebanyak 3,089. Kita akan tambah 14 lagi. Jadi sebanyak 2,798 pertambahan katil. Jadi jumlah katil akan menjadi 5,887. Kita akan buka mengikut keperluan dan jumlah staf yang ada,” katanya ketika dihubungi pihak Astro AWANI pada Ahad.
Jelas Dr Sapian, fasiliti di zon lain turut akan digunakan sekiranya PKRC di zon selatan sudah mencapai tahap maksimum.
“Kita akan mobilisasi dari fasiliti kesihatan dalam zon selatan. Jika tidak mencukupi akan dimobilisasi dari zon-zon lain yang kurang terjejas,” ujarnya.
Setakat Sabtu, 99 peratus daripada 1, 964 kes positif di Sarawak adalah dibawah kategori satu dan dua.
#PKRC Kuching #Kuching #COVID-19 #JPBN Sarawak #Sarawak #Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed
;