Peningkatan kerentanan terhadap pengangguran satu kebimbangan - IDEAS
Bernama
November 16, 2023 13:17 MYT
November 16, 2023 13:17 MYT
KUALA LUMPUR: Peningkatan kerentanan terhadap pengangguran menjadi satu kebimbangan utama yang dijejaskan lagi oleh impak akibat pandemik COVID-19, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).
Pengarah Penyelidiknya Dr Juita Mohamad berkata cabaran sedia ada dalam pasaran pekerjaan turut disukarkan lagi oleh masalah kehilangan kerja, gangguan dalam haluan pendidikan dan latihan serta kekangan terhadap pergerakan pasaran tenaga kerja yang dirujuk sebagai 'kejutan tiga kali ganda.'
"Visi Komuniti ASEAN 2025 secara strategiknya telah mengutamakan dasar-dasar berkaitan belia bagi melengkapkan lagi demografi itu dengan mekanisme serta sumber-sumber bagi pembangunan mereka. Walaupun terdapat komitmen-komitmen ini, cabaran ini sebaliknya terus ada, khususnya bagi kumpulan belia yang rentan.
"Kelemahan itu jelas menerusi peningkatan ketara belia yang dikategorikan sebagai tercicir daripada bidang pekerjaan, pendidikan atau latihan (NEET) bagi tempoh 2019-2020 yang turut mewakili kumpulan berpotensi yang belum diterokai," katanya dalam kenyataan bersempena pelancaran Laporan Integrasi ASEAN 2023 yang juga penerbitan tahunan IDEAS.
Segmen belia yang memainkan peranan penting dalam ekonomi merangkumi 34 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk di rantau ini.
Laporan berkenaan yang juga sebahagian daripada Inisiatif Kemakmuran Asean (API), menjejaki perkembangan atau kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2025 yang menumpukan bidang keutamaan bagi kalangan belia : mobiliti dan kesalinghubungan pekerja, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta ekonomi digital.
Ia turut merangkumi input pelbagai pihak berkepentingan yang mewakili pelbagai negara-negara Asean, termasuk kalangan pemimpin belia, aktivis, pakar dan wakil institusi akademik serta kumpulan pemikir dan diperolehi daripada sesi perbincangan meja bulat di Hanoi dan Jakarta.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Dr Tricia Yeoh berkata biarpun wujud cabaran dari segi pendidikan, penggajian, keusahawanan dan landskap digital, laporan itu dengan jelas menekankan kepentingan tanggungjawab bersama bagi memastikan golongan belia dilengkapkan dengan platform yang teguh.
"Rasa yakin itu terletak pada daya tahan serta impian belia dan (laporan ini) turut menggesa ASEAN untuk sama-sama bertindak dalam memanfaatkan nilai-nilai kerjasama, saling berkongsi pengetahuan dan kerjasama bagi menangani cabaran penting yang dihadapi rantau ini," katanya.
-- BERNAMA