Peningkatan diabetes, hiperkolesterolemia dan obesiti membimbangkan
Bernama
Oktober 28, 2018 04:58 MYT
Oktober 28, 2018 04:58 MYT
Masalah penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hiperkolesterolemia dan masalah obesiti di negeri ini amat membimbangkan apabila merekodkan peningkatan setiap tahun berdasarkan data yang diambil dari Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), kata seorang anggota Exco negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Taufek Abd Ghani berkata 19.3 peratus individu di negeri ini yang berumur 18 tahun dan ke atas dikesan menghidap diabetes.
"Penyakit hiperkolesterolemia mencatatkan peningkatan 49.5 peratus pada tahun 2015, berbanding 39.7 peratus pada 2011.
"Masalah obesiti juga turut meningkat iaitu dari 16 peratus pada 2011 kepada 23.5 peratus pada tahun 2015," katanya semasa berucap pada majlis penutupan Ekspo Moh Waghih Sihat: Sihat Milikku Peringkat Negeri Sembilan 2018 di sini, pada Ahad.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali dan Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Sembilan Rozkhaidi Othman.
Taufek berkata antara punca peningkatan penyakit tersebut ialah disebabkan pengambilan makanan yang berlebihan dan kurangnya aktiviti fizikal yang menjadi budaya masyarakat Malaysia kini.
Beliau berkata kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan untuk meneliti permasalahan ini lebih mendalam di samping merangka program yang lebih strategik dan dekat dengan akar umbi supaya masalah penyakit seperti ini dapat dikurangkan.
"Dalam tempoh lima tahun ini, kami sasar untuk memastikan setiap taman perumahan dan kampung-kampung mempunyai gelanggang futsal supaya anak muda kita aktif bersukan selain dapat membantu mengurangkan masalah obesiti dalam kalangan masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
#aktiviti fizikal
#diabetes
#gelanggang futsal
#hiperkolesterolemia
#makanan
#Negeri Sembilan
#NHMS
#obesiti
#penyakit tidak berjangkit
#sihat
#sukan
#Taufek Abd Ghani