Peningkatan bayaran premium insurans: PAC adakan sesi pendengaran awam

Bernama
Februari 7, 2025 15:45 MYT
PAC menjelaskan ia diadakan susulan aduan rakyat mengenai kenaikan harga tidak terkawal dalam sektor hospital swasta, premium insurans dan impaknya kepada sistem kesihatan awam. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan Sesi Pendengaran Awam bagi prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan dan Takaful, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam di bawah Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia (BNM).
PAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi pertama akan diadakan di AC Marriott Hotel, Bukit Jambul Pulau Pinang pada 9 pagi hingga 12 tengah hari, 14 Feb manakala sesi kedua dijadualkan berlangsung di Dewan Banquet, Blok Utama Parlimen Malaysia di ibu negara pada 9 pagi hingga 12 tengah hari, 21 Feb ini.
Jawatankuasa itu menjelaskan ia diadakan susulan aduan rakyat mengenai kenaikan harga tidak terkawal dalam sektor hospital swasta, premium insurans dan impaknya kepada sistem kesihatan awam.
"Melalui Sesi Pendengaran Awam ini, pandangan daripada semua pihak akan didengari secara terbuka dan akan dimasukkan dalam laporan PAC sebelum dibentangkan di Parlimen," menurut kenyataan itu.
PAC menyambut baik langkah interim kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Bank Negara Malaysia dengan mengehadkan kenaikan premium insurans, namun penyelesaian jangka masa panjang harus dikaji.
Berikutan itu, PAC ingin membantu kerajaan merangka Private Healthcare Reform melalui prosiding yang komprehensif dengan semua pihak berkepentingan termasuk mendapatkan pandangan dan ulasan daripada rakyat.
Kenyataan itu menyebut PAC akan mengadakan prosiding secara tertutup di bawah Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dengan memanggil saksi-saksi terdiri daripada pihak berkepentingan utama dalam isu ini terdiri daripada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan selepas sesi pendengaran awam itu.
Justeru, PAC menjemput orang ramai termasuk pengadu terhadap syarikat insurans dan hospital swasta, pemegang polisi insurans, wakil persatuan pengguna, wakil syarikat insurans, wakil pengurusan dan pekerja hospital swasta, doktor-doktor pakar, pertubuhan bukan kerajaan dan segenap lapisan rakyat yang prihatin mengenai isu berkenaan untuk menghadiri pendengaran awam itu.
Mereka yang ingin mengikuti sesi pendengaran itu dimohon untuk mengisi Google Form untuk pendaftaran melalui pautan https://parlimenmalaysia.info/kehadiranpesertapublichearing.
Tahun lepas, Perdana Menteri memaklumkan kenaikan caj premium insurans kira-kira 40 hingga 70 peratus yang dikenakan terhadap pengguna masih dalam proses rundingan semula dan laporan BNM akan dimuktamadkan selepas rundingan dengan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITO) serta pihak berkepentingan lain diadakan.
-- BERNAMA
#PAC #caj hospitsl swasta #premium insurans #BNM
;