Peningkatan aktiviti sosial, abaikan SOP punca peningkatan kluster baharu - Dr Noor Hisham

Ridauddin Daud
November 30, 2021 20:16 MYT
Menurut Dr Noor Hisham, penurunan nilai RT bermula pada minggu lepas mendatangkan kesan positif kepada kebanyakan indikator utama jangkitan COVID-19 yang kini menunjukkan tren penurunan pada ME ke-47. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penurunan nilai RT bermula pada minggu lepas mendatangkan kesan positif kepada kebanyakan indikator utama jangkitan COVID-19 yang kini menunjukkan tren penurunan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-47.
Begitupun, trend peningkatan kewujudan kluster baharu pada ME ke-47 dalam semua kategori kecuali tempat kerja dan import adalah amat membimbangkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, situasi itu menunjukkan peningkatan aktiviti sosial di semua peringkat tetapi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sudah mula dipandang ringan.
“Hal ini terbukti apabila data menunjukkan terdapat peningkatan tawaran kompaun bagi kesalahan gagal memakai pelitup muka sebanyak 8.9 peratus.
BACA: COVID-19: 4,879 kes baharu, 61 lagi kematian
BACA: COVID-19: 61 lagi kematian baharu, keseluruhan 30,370
“Walaupun kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal mulai berkurang (penurunan 73.7 peratus), namun pemakaian pelitup muka dengan betul haruslah diberi penekanan.
“Ini adalah amat penting bagi memastikan perebakan melalui udara dapat dikurangkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, sebanyak 50 kluster telah dilaporkan pada ME ke-47 dengan 22 daripadanya kluster tempat kerja dan enam kluster masing-masing melibatkan komuniti, kumpulan berisiko tinggi dan sektor pendidikan.
Dalam pada itu, beliau berkata trend penurunan nilai RT kepada 0.96 dijangka terus memberi impak positif dalam memastikan Malaysia bergerak ke arah fasa hidup dengan virus dan seterusnya fasa endemik.
Penambahbaikan protokol kesihatan
“Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 12.4 peratus dengan 304 kematian berbanding 347 kematian pada ME ke-46.
“Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak lima peratus iaitu 452 kes (ME ke-46) kepada 431 kes (ME ke-47).
“Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan (enam peratus) dari 179 kes (ME ke-46) ke 169 kes (ME ke-47) dan ia sebenarnya mula menunjukkan trend penurunan pada ME ke-45,” ujarnya.
BACA: Ada kemungkinan Omicron lebih mudah menjangkiti berbanding Delta - Khairy
Tambah beliau, kadar penggunaan fasiliti kesihatan (Katil Bukan ICU dan Katil PKRC) juga didapati menurun pada ME ke-47.
“Penggunaan katil bukan ICU di hospital telah mencatat penurunan sebanyak satu peratus manakala penggunaan katil di PKRC menurun sebanyak tiga (3) peratus berbanding ME ke-46,” katanya lagi.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Kluster tempat kerja #abai SOP #kes baharu #KKM #nilai Rt #Ketua Pengarah Kesihatan #kompaun
;