Peningkatan aktiviti ketenteraan AS, China di Laut China Selatan perlu diberi perhatian - Agong

Fauzi Suhaimi
Mei 18, 2020 11:50 MYT
Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan perlu merangka pendekatan komprehensif dalam menangani kemasukan PATI secara menyeluruh. - Gambar BERNAMA
Malaysia perlu memberi perhatian terhadap peningkatan aktiviti ketenteraan oleh Amerika Syarikat (AS) dan China di Laut China Selatan.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Malaysia perlu merangka strategi bersesuaian untuk melindungi kepentingan negara.
"Peningkatan aktiviti ketenteraan dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Republik China di Laut China Selatan wajar diberi perhatian.
"Justeru, Malaysia perlu sentiasa peka kepada domain maritim negara di samping terus merangka strategi untuk mendukung aspirasi geopolitik negara," titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat, di sini pada Isnin.
Baginda turut berharap, kerangka strategi dan dasar pertahanan masa depan Malaysia mengambil kira kepentingan diplomasi pertahanan, dasar luar yang pragmatik, triti antarabangsa dan kedudukan geopolitik negara di Rantau Asia Pasifik.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah, kerajaan perlu merangka pendekatan komprehensif dalam menangani kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara menyeluruh.
Titah baginda,isu itu bakal menimbulkan pelbagai masalah termasuk dalam aspek ekonomi, sosial dan keselamatan negara.
"Sempadan negara yang terbuka luas perlu terus diperkukuh dalam usaha mengekang laluan rentas sempadan PATI," titah baginda.
#Amerika Syarikat #AS #Asia #China #Dewan Rakyat #ekonomi #kerajaan #keselamatan #Malaysia #Parlimen #pati #politik #rakyat #Yang di-Pertuan Agong
;