Peningkatan akses Internet mudahkan urusan pembelajaran
Bernama
Julai 9, 2023 05:30 MYT
Julai 9, 2023 05:30 MYT
DENGKIL: Keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan akses jaringan Internet di semua universiti akan memudahkan urusan pembelajaran dan meningkatkan kebolehan pelajar.
Yang Dipertua (YDP) Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tualang Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor kampus Dengkil Muhammad Syafiq Akmal Mahadi berkata kemudahan Internet yang pantas membolehkan bahan rujukan diakses dengan cepat dan mudah di kediaman kampus.
"Internet pantas beri kelebihan kepada pelajar. Pelajar tidak perlu bergerak ke tempat lain yang aksesnya lebih baik, contohnya perpustakaan yang jauh," katanya yang menyifatkan perkara itu sebagai menjimatkan masa.
Muhammad Syafiq Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas sesi lawatan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil ke UiTM Cawangan Selangor kampus Dengkil semalam.
Fahmi pula menyifatkan kaedah pengurusan Internet di UiTM itu adalah baik dan boleh dijadikan rujukan untuk semua universiti.
Beliau juga berkata UiTM itu telah memperuntuk RM3.38 juta bagi meningkatkan jumlah akses poin dari 100 ke 200 unit manakala setiap dua bilik asrama dilengkapi dengan satu WiFi router.
YDP Jawatankuasa Perwakilan Kolej Dahlia Nur Amani Izzati Kamarul Azhar pula berkata kemudahan Internet di UiTM itu semakin pantas setelah ditambah baik oleh pengurusan universiti.
"Sekarang memang laju dan dalam keadaan baik... dulu apabila waktu malam, memang agak perlahan kerana ramai pelajar buat tugasan," katanya yang turut berterima kasih kepada Fahmi yang prihatin kerana meninjau akses Internet di kampus itu.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Program Temu Anwar di Universiti Utara Malaysia, Sintok di Kedah meminta Fahmi memberi keutamaan berkaitan kesalinghubungan Internet yang lebih baik di kampus universiti seluruh negara.
Anwar berkata kemudahan Internet di kampus universiti merupakan satu keperluan asas dan menjadi elemen penting yang harus disediakan seperti buku teks.
-- BERNAMA