Penilaian impak projek rintis Dasar Gaji Progresif dibuat Sept ini

Hasimi Muhamad
Jun 25, 2024 14:27 MYT
Abdul Rahman berkata sehingga 25 Jun, seramai 732 majikan telah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif.- Foto JaPen
KUALA LUMPUR: Penilaian impak pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) akan dibuat pada September depan sebelum pelaksanaan secara menyeluruh diputuskan oleh Jemaah Menteri, yang dijangka pada Oktober 2024.

Ringkasan AI
  • Berikut adalah perkara utama mengenai pelaksanaan projek rintis Dasar Gaji Progresif (DGP) di Malaysia:
  • Penilaian Impak: Penilaian impak pelaksanaan projek rintis DGP akan dilakukan pada bulan September. Keputusan mengenai pelaksanaan secara menyeluruh dijangka akan dibuat oleh Jemaah Menteri pada bulan Oktober 2024.
  • Jumlah Majikan Terlibat: Hingga 25 Jun, seramai 732 majikan telah membuka akaun melalui Sistem Gaji Progresif. Dari jumlah tersebut, 237 majikan (32%) telah mengemukakan permohonan untuk menyertai projek rintis DGP.
  • Insentif dan Manfaat: RM50 juta telah disediakan untuk pelaksanaan projek rintis DGP, termasuk pembayaran insentif kepada 1,000 majikan. Pembayaran insentif kepada majikan dijangka bermula pada Oktober setelah memenuhi syarat. Insentif ini diharap memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan dengan gaji antara RM1,500 hingga RM4,999.
  • Projek rintis DGP melibatkan lima sektor tertentu dan telah mendapat maklum balas positif dari majikan dan pekerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata sehingga 25 Jun (hari ini), seramai 732 majikan telah membuka akaun menerusi Sistem Gaji Progresif.
Daripada jumlah tersebut, ujarnya seramai 237 atau 32 peratus majikan telah mengemukakan permohonan untuk menyertai projek rintis DGP.
"Sebanyak RM50 juta telah disediakan bagi pelaksanaan projek rintis DGP termasuk bagi pembayaran insentif kepada 1,000 majikan.
"Pembayaran insentif kepada pihak majikan dijangka bermula pada Oktober depan apabila pihak majikan mengemukakan tuntutan selepas memenuhi syarat yang ditetapkan.
"Pemberian insentif ini dijangka memberi manfaat kepada 20,000 pekerja tempatan yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta penjelasan mengenai status pelaksanaan dasar gaji progresif di peringkat kementerian dalam usaha meningkatkan pendapatan pekerja di sektor swasta.
Pelaksanaan projek rintis DGP bermula pada Jun hingga Ogos depan.
Menjawab lanjut, Abdul Rahman berkata sehingga Jun 2024, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama kementerian dan agensi lain seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Kesatuan Hal Ehwal Pekerja (JHEKS) dan Kementerian Ekonomi menganjurkan serta menghadiri sebanyak 16 sesi libat urus yang melibatkan wakil majikan dan pekerja.
Berdasarkan sesi libat urus tersebut, ujarnya majoriti pihak majikan dan pekerja memberi maklum balas positif terhadap pelaksanaan DGP, selain permohonan majikan untuk menyertai projek rintis berkenaan turut meningkat.
Beliau menambah, antara syarat yang ditetapkan untuk penyertaan projek rintis berkenaan adalah ia hanya dibuka kepada lima sektor.
Sektor tersebut adalah pembuatan; pembinaan; perdagangan borong dan runcit; pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal; maklumat dan komunikasi; serta aktiviti profesional, saintifik dan teknikal.
Selain itu, projek rintis DGP membabitkan 1,000 syarikat yang memenuhi syarat kelayakan dengan pekerja bergaji antara RM1,500 dan RM4,999.
#Dasar Gaji Progresif #gaji pekerja swasta #Penyertaan projek rintis DGP #Dewan Rakyat #Parlimen
;