Penilaian akhir LPT2 akan diumumkan minggu ini - MIROS

Rahimah Abdullah
November 11, 2015 16:56 MYT
Penilaian awal MIROS mendapati faktor memandu melebihi had laju menyebabkan antara punca kemalangan kerap berlaku di lebuhraya itu. - Gambar Fail
Keputusan penilaian akhir ke atas Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) akan diumumkan minggu ini, kata Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon.
Bagaimanapun Dr Shaw Voon berkata, penilaian awal mendapati faktor memandu melebihi had laju menyebabkan antara punca kemalangan kerap berlaku di lebuh raya itu.
"Bagi siapa-siapa yang pernah melalui LPT2, mereka akan tahu bahawa LPT2 ini adalah jalan lurus, lebar dan tidak banyak trafik. Kami dapati ramai yang melebihi had laju.
"MIROS harap pada minggu ini kita akan dapat keputusan penilaian ke atas LPT2 kerana sekarang ini kerja-kerja penilaian masih berjalan," katanya kepada Astro AWANI selepas majlis pelancaran Hari Keselamatan Kanak-kanak- ASEAN NCAP di Autoliv Hirotako Safety Sdn Bhd, Balakong, di sini hari ini.
Jelasnya, pengguna jalan raya sewajarnya memahami keadaan jalan yang direka bentuk sesuai dengan had laju tertentu.
"Walaupun kereta boleh capai kelajuan yang lagi tinggi, namun kita kena faham juga keadaan jalan yang direka bentuk itu.
"Kita tidak boleh reka jalan yang 300km sejam. Kita kena reka bentuk (jalan) seperti itu supaya ramai pengguna boleh gerak daripada point A ke point B dengan cara yang paling berkesan dari segi keselesaan dan keselamatan," jelasnya.
PENGGUNA PANDU LAJU KERANA MENGANTUK
Malah menurutnya lagi, ada sesetengah pemandu cenderung untuk memandu laju di LPT2 kerana mendakwa ia boleh menghilangkan rasa mengantuk.
"Ramai pengguna yang kata sebab tidak ada kereta, bosan dan mengantuk semasa memandu, itu antara alasan. Mungkin ada kebenaran juga.
"Kalau mengantuk sebab tidak cukup rehat, dan dalam keadaan tidak selesa, mereka kena rehat dan rancang perjalanan mereka.
"Jangan kerana mengantuk, seseorang itu cuba memandu laju untuk hilangkan mengantuk. Tidak boleh begitu," kata beliau.
Bagaimanapun, beliau mengakui ada perkara yang perlu ditambah baik jika melihat kepada keadaan lebuh raya berkenaan.
"Dalam penilaian yang sudah dilakukan sampai sekarang kita sedang lakukan, masih ada ruang yang boleh ditambah baik.
"Contohnya masalah tanah mendap, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah berusaha untuk tambah baik keadaan di sana. Itu boleh diuruskan," ujarnya.
MIROS BUKAN PAKAR BIDANG MISTIK
Tambah beliau, MIROS tidak dapat memastikan kebenaran bahawa LPT2 berhantu memandangkan pihaknya hanya membuat penilaian dari sudut saintifik sahaja.
"Saya bukan pakar bidang mistik. MIROS tidak pandang dari sudut itu. Semua dianalisa adalah dari sudut saintifik iaitu dari segi kejuruteraannya," kata beliau lagi.
Mengulas mengenai keadaan LPT2 yang dikatakan 'beralun', ini jawab beliau:
"Ya, jalan 'beralun' jika pengguna lalu, dia akan rasa tidak selesa.
"Namun, kadang-kadang keadaan tidak selesa itu akan mengejutkan pengguna yang mengantuk," jelasnya.
Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia, 87 kes kematian direkodkan di LPT2 sejak ia dibuka Januari 2011.
Pada 14 Oktober lalu, enam sekeluarga maut selepas kenderaan yang mereka naiki terperosok di bawah sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di kilometer 258.8, manakala tiga hari kemudian, dua beranak maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di kilometer 273.9.
Malah, kejadian terbaru pada Sabtu lalu, seorang jurutera maut selepas Perodua Myvi yang dipandunya hilang kawalan dalam kejadian di kilometer 252.1 LPT2 berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Perasing.
#Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia #Lebuhraya Pantai Timur 2 #LPT2 #MIROS
;