Peniaga yang masih guna plastik, polisterin di Johor akan dikompaun mulai Januari 2019
Bernama
April 22, 2018 14:56 MYT
April 22, 2018 14:56 MYT
Kompaun akan dikenakan kepada peniaga dan penjaja di Johor yang masih menggunakan plastik konvensional dan bekas polisterin mulai 1 Januari 2019.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata ia berikutan pelaksanaan dasar penggunaan plastik jenis biodegradasi di bawah program Johor Lestari.
"Pelaksanaan ini telah kita mulakan sejak 1 Februari 2018, tetapi ia masih di peringkat kita memberi kesedaran dan perubahan sikap.
"(Bagaimanapun), bermula 1 Jan 2019, kita akan laksanakan sepenuhnya di mana PBT (pihak berkuasa tempatan) boleh mengenakan kompaun kepada peniaga yang masih berdegil," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Bumi 2018 Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Maharani dekat sini hari ini.
Ayub berkata jumlah kompaun bagaimanapun dijangka tidak melebihi RM1,000.
Dalam pada itu, Ayub berkata pelaksanaan dasar itu turut mengambil kira sama ada ia melibatkan peningkatan kos kepada peniaga seterusnya kepada pengguna.
Bagaimanapun katanya, kos produk biodegrasi itu tidak berbeza dengan produk sedia ada dan peniaga tidak sepatutnya menjadikan ia alasan untuk menaikkan harga jualan mereka.
Katanya lagi, setakat ini terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan peniaga sejak dasar itu dilaksanakan dengan pengusaha pasar raya serta penjaja telah mula menggunakan plastik biodegrasi untuk pembungkusan produk mereka.
"Kita harap kesedaran ini terus meningkat apabila kita laksanakan 100 peratus dasar ini untuk menyelamatkan bumi kita," katanya.
Sementara itu, di majlis tersebut kira-kira 600 pokok ditanam sekitar kawasan sekolah sempena sambutan yang bertemakan 'Tamatkan Pencemaran Plastik'.
Pemilihan tema ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai pencemaran barang plastik termasuk kes-kes keracunan, kecederaan dan kematian kepada hidupan marin serta pencemaran pantai.
-- BERNAMA