Peniaga warga asing sorok minyak masak peket, jual kepada orang luar sahaja
Aida Aziz
Mac 29, 2024 11:00 MYT
Mac 29, 2024 11:00 MYT
TELUK INTAN: Minyak masak peket bersubsidi 1 kilogram (kg) habis dan kononnya tidak menerima bekalan minyak masak itu sejak seminggu lalu dari pembekal.
Itu alasan yang diberikan di premis yang dikendalikan peniaga warga asing di Komplek Menara Condong, di sini, sekali gus, membongkar aktiviti menyorok minyak masak bersubsidi dan hanya menjualnya kepada warga asing.
Pembongkaran itu berjaya dibuat hasil penyamaran dan serbuan yang dilakukan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, Rabu lalu.
Menurut Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail, serbuan itu dibuat sempena Ops Pantau 2024 bagi memeriksa stok bekalan barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri, khususnya barang bersubsidi seperti minyak masak peket 1 kg, gula dan tepung.
"Penguat kuasa melakukan Ops Samar susulan aduan dari orang awam ada peniaga dengan sengaja menyorok minyak masak paket bersubsidi 1 kg dan hanya menjual kepada warga asing.
"Tindakan penyamaran sebagai pembeli dilakukan untuk membuat uji beli di beberapa premis perniagaan.
"Hasil Ops Samar mendapati peniaga memaklumkan bahawa stok bekalan minyak itu habis dan tidak menerimanya sejak seminggu lalu dari pembekal.
"Curiga dengan jawapan peniaga itu, pegawai dan anggota penguat kuasa berpakaian seragam telah menyerbu dan memeriksa premis serta stor simpanan perniagaan berkenaan.
"Hasilnya sebanyak 139 peket 1 kg minyak masak bersubsidi dijumpai di dalam stor simpanan milik peniaga tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Kamalludin menambah, satu arahan pengisytiharaan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diserahkan kepada pemilik premis.
Selain itu, 139 paket 1 kg minyak masak bersubsidi dan beberapa dokumen belian serta jualan disita untuk siasatan lanjut.
Katanya, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM347.50 dan kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Secara keseluruhan operasi itu berjaya menghasilkan lapan kes pelbagai kesalahan iaitu tiga kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
"Lima kes di bawah Akta Kawalan Harga & Anti Pencatutan 2011. Antara kesalahan yang dilakukan adalah menjual barang kawalan melebihi harga yang maksimum yang ditentukan kerajaan di samping kesalahan tidak meletakkan tanda harga pada makanan atau barangan yang dijual," kata beliau lagi.