Peniaga wanita mengaku miliki 102 alat mainan seks

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 28, 2024 16:00 MYT
Kesalahan itu didakwa dilakukan Sarah Phoon di premis pusat belah-belah popular di Bayan Lepas, 2.30 petang, 6 Februari lalu. - Foto Astro AWANI
BALIK PULAU: Seorang peniaga wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan memiliki 102 unit peralatan mainan seks, Februari lalu.
Tertuduh Sarah Phoon, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Chia Huey Ting.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa memiliki 102 unit alat-alat lucah iaitu peralatan mainan seks.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis pusat belah-belah popular di Bayan Lepas, 2.30 petang, 6 Februari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dengan membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika bersalah.
Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mahadzir Saad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Teh Yi Kai.
Semasa prosiding, tertuduh yang memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan memohon mahkamah mengurangkan jaminan kerana perlu menanggung ibu bapa serta dua adiknya yang sedang menuntut di sebuah kolej swasta.
Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM2,000 dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda yang dikenakannya.
Bagaimanapun tertuduh telah membayar denda yang dikenakannya itu sebaik pertuduhan terhadapnya selesai dijalankan.
#peniaga wanita #mengaku bersalah #miliki alat mainan seks #Mahkamah Majistret Balik Pulau
;