Peniaga wanita ditahan jual beg tiruan dalam talian

Sinar Harian
April 25, 2024 14:32 MYT
Anggota penguat kuasa KPDN Temerloh melakukan pemeriksaan ke atas rumah yang dijadikan pusat jualan dan stor bagi penyimpanan produk tiruan di Taman Keladan Baiduri di Temerloh pada Rabu.
TEMERLOH: Seorang peniaga wanita ditahan selepas dikesan menjalankan aktiviti menjual beg tiruan dalam talian menggunakan cap dagangan secara salah di sebuah rumah di Taman Keladan Baiduri di sini pada Rabu.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, susulan penahanan wanita berusia 31 tahun itu, pihaknya turut merampas sejumlah beg tangan tiruan dianggarkan bernilai RM1,000.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut merupakan rumah kediaman yang dijadikan pusat jualan dan stor bagi penyimpanan produk tiruan menggunakan salah satu cap dagangan terkenal di pasaran.
"Berdasarkan maklumat awal, peniaga terbabit dipercayai menjual produk tiruan berjenama terpakai yang diperoleh daripada penjual di media sosial.
"Dia kemudian menjual kembali barangan tersebut secara dalam talian dengan harga sekitar RM70 bergantung kepada keadaan, saiz dan bentuk produk," katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Abdul Razak berkata, barangan tiruan yang dirampas telah disita untuk siasatan lanjut bawah Akta Cap Dagangan 2019.
"KPDN memberi amaran kepada peniaga supaya tidak melakukan aktiviti produk yang menyalahi undang-undang.
"Mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran undang-undang bawah Akta Cap Dagangan 2019 berdepan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap unit barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.
Tambah beliau, bagi syarikat denda dikenakan sehingga RM15,000 bagi setiap unit barangan.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#peniaga wanita ditahan #jual beg tiruan #dalam talian #kpdn #temerloh
;