Peniaga vape di Johor minta tempoh kembalikan modal
Bernama
November 30, 2015 09:40 MYT
November 30, 2015 09:40 MYT
Peniaga vape di negeri ini meminta kerajaan negeri mempertimbangkan larangan penjualan produk itu dan memberi tempoh kepada mereka mendapatkan kembali modal perniagaan sebelum ia dikuatkuasakan.
Tinjauan Bernama di beberapa premis perniagaan vape di bandar raya ini mendapati suasana di premis agak suram dan beberapa penjual vape turut melahirkan rasa sedih dengan larangan tersebut.
Akhbar tempatan berbahasa Inggeris semalam melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai bertitah agar larangan penjualan vape dikuatkuasakan dan semua premis yang menjual vape diberi tempoh sehingga 1 Jan depan untuk menutupnya.
"Berilah masa untuk kami mendapatkan kembali modal bagi penjualan vape ini," kata Noor Azlan Nardi, peniaga vape di Kilang Bateri, Jalan Tampoi, di sini ketika ditemui Bernama pada Ahad.
Pengusaha berusia 42 tahun itu berkata beliau terkilan dengan perkembangan terbaru itu kerana menjejaskan perniagaan anak Melayu sepertinya.
"Kami mula berniaga di tepi jalan, menumpang kedai mamak, sehinggalah kini kami mampu berniaga di kedai sendiri," katanya.
Beliau turut kesal kerana terasa teraniaya memandangkan maklumat mengenai sama ada perniagaan vape dibenarkan atau tidak sentiasa berubah.
"Kita peniaga rasa teraniaya sebab vape ini sekejap boleh, sekejap tidak boleh," katanya.
Pengusaha rayu tempoh pengharaman vape dilanjutkan
Noor Azlan berkata peniaga sepertinya telah mengeluarkan modal yang besar untuk memulakan perniagaan dan adalah sangat mustahil mendapatkan kembali modal dalam tempoh sebulan.
"Saya harap ada pihak yang mahu mendengar keluhan daripada peniaga vape dan mempertahankan hak kami," katanya sambil menambah memerlukan sekurang-kurangnya setahun untuk mendapat kembali modal sepenuhnya.
Sementara itu, Mohd Izwandi Suhaimi, 29, berkata beliau sedih dengan perkembangan berkenaan kerana baru sahaja memulakan perniagaan tersebut tiga bulan lalu.
"Tindakan itu umpama menutup periuk nasi kami, di mana kami hendak dapat modal balik kalau kami tutup kedai, sekurang-kurangnya bagi masa kepada kami dapatkan balik modal, separuh modal pun tak apa," katanya.
Terdahulu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Johor Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri akan membincangkan titah Sultan Johor itu pada mesyuarat Exco dalam masa terdekat.
Beliau berkata pihaknya bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Bahagian Farmasi akan turut mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum dikemukakan pada mesyuarat itu.