Peniaga tepi jalan maut terkena tayar lori tercabut
Bernama
Mac 7, 2023 22:54 MYT
Mac 7, 2023 22:54 MYT
BANDAR PERMAISURI: Seorang peniaga maut selepas terkena tayar lori yang tercabut di Kilometer 43 Jalan Pantai, Kuala Terengganu-Kampung Raja, dekat sini hari ini.
Dalam insiden kira-kira 5 petang tadi, mangsa Muhammad Airiel Rizman Mohamad Nazari, 18, yang berasal dari Kampung Mengabang Panjang, Kuala Terengganu sedang berniaga di tepi jalan bersama rakannya, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd Zainani, 22.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Afandi Hussin berkata siasatan awal mendapati lori terbabit sedang dalam perjalanan dari Kampung Merang ke Kampung Telaga Papan sebelum sebiji tayar belakangnya tercabut dan terpelanting ke tepi jalan.
"Tayar tersebut terkena Muhammad Airiel Rizman dan Nik Muhammad Afiq Rizani yang sedang berniaga di tepi jalan.
Muhammad Airiel Rizman meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di dada manakala Nik Muhammad Afiq Rizani patah tangan kanan dan luka di bahagian muka," katanya ketika dihubungi malam ini.
Afandi berkata mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan susulan manakala rakannya turut menerima rawatan di hospital sama.
Menurut Afandi lagi pemandu lori yang berusia 37 tahun dan berasal dari Kelantan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Rakaman percakapan saksi dan waris si mati telah diambil untuk siasatan. Lori tersebut juga telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Setiu untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
-- BERNAMA