Peniaga tanpa vaksin tidak dibenar berniaga di Pasar Sentral Sibu
Astro Awani
Julai 5, 2021 17:57 MYT
Julai 5, 2021 17:57 MYT
SIBU: Peniaga di Pasar Sentral Sibu dan pasar malam daerah itu tidak akan diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan sekiranya enggan menerima vaksin COVID-19.
Langkah itu merupakan inisiatif dalam memastikan semua penjaja terlibat divaksinasi, pada masa sama memberi keyakinan kepada orang ramai untuk berbelanja.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Penjaja Kecil Sibu, Albert Tiang Ming Ing, lesen perniagaan mereka yang tidak memenuhi kriteria ini tidak dibatalkan sebaliknya mereka akan diarahkan pulang.
‘’Ada sekitar tiga ke lima peratus penjaja yang masih tidak menerima vaksin dan kita akan turun padang dan mengenal pasti mereka yang masih belum divaksinasi.
‘’Sekiranya pada September, mereka masih ingkar dan tidak mahu divaksinasi, mereka tidak akan dibenarkan beroperasi dan berehatlah di rumah sehingga mereka selesai divaksinasi,’’ katanya.
Tambahnya, usaha ini juga sebagai inisitif memastikan semua pusat penjaja di Sibu selamat dikunjungi.
‘’Kami mahu memastikan pasar sentral ini sebagai lokasi yang selamat untuk dikunjungi kerana dulu kita pernah tutup selama dua bulan kerana ada penjaja-penjaja yang disahkan positif COVID-19.
‘’Jadi penting untuk memastikan orang ramai akan terus yakin dan berasa selamat untuk mengunjungi pasar sentral ini,’’ tambahnya.
Peniaga di Pasar Sentral Sibu kini terpaksa beroperasi menggunakan kaedah penggiliran bagi mengurangkan jumlah peniaga pada satu-satu masa.
Hal ini menjadi masalah kepada peniaga terutama peniaga barangan basah.
Justeru, inisiatif memastikan semua penjaja divaksin diyakini akan mampu membantu peniaga untuk beroperasi seperti sediakala.
Bagaimanapun, peraturan tersebut hanya akan mula dilaksanakan selepas bulan September ini.
#COVID-19 di Sibu
#COVID-19 di Sarawak
#PICK di Sibu
#Pasar Sentral Sibu
#penjaja kecil di Sibu
#jumlah vaksinasi di Sibu