Peniaga runcit masih tersepit isu kekurangan bekalan minyak masak peket

Hilmi Malik
Januari 29, 2023 21:17 MYT
Isu kekurangan bekalan minyak masak peket masih menjadi keluhan peniaga runcit berdasarkan tinjauan di beberapa premis di sekitar ibu kota. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Isu kekurangan bekalan minyak masak peket masih menjadi keluhan peniaga runcit berdasarkan tinjauan di beberapa premis di sekitar ibu kota.
Malah peniaga sendiri mendakwa, bekalan yang ada hanya mampu menampung penggunaan untuk tempoh sehari.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, ruangan untuk menempatkan bekalan minyak masak peket sememangnya kosong.
Menurut seorang peniaga runcit, Khairul Azmi, masalah itu telah berlarutan selama dua bulan selain pengguna turut mengeluh berhubung kekurangan barangan keperluan asas itu.
“Sejak dari isu kekurangan telur lagi minyak masak peket memang putus dan kita memang ada buat pesanan tetapi pembekal maklum bekalan memang tiada.
“Kalau dulu kita boleh pesan 30 karton bekalan tetapi sekarang nak dapat satu kotak pun memang susah,” katanya ketika ditemui pada Ahad.
Sementara itu, permasalahan sama turut disuarakan seorang lagi peniaga runcit, Mohd Amirul Aizad yang menyatakan terpaksa mendapatkan sendiri bekalan daripada pemborong meskipun mempunyai had yang ditetapkan.
“Kita nak pergi borong pun memang dia perlu tengok kita punya lesen… sebab kedai saya hanya terhad untuk 17 kilogram, memang boleh dapat tetapi tak boleh nak bertahan lama.
“Jadi bila kita datang lagi untuk ambil bekalan memang kebanyakannya tiada stok jadi susah untuk pengguna nak buat pembelian.
“Penggunaan satu kotak pun hanya cukup untuk tampung penjualan untuk sehari sahaja,” katanya lagi.
Dalam pada itu, tinjauan juga dibuat di beberapa buah pasar raya di sekitar Kuala Lumpur, bagaimanapun, tidak timbul sebarang isu kekurangan.
Permintaan yang tinggi membuatkan bekalan cepat menyusut namun pihak pasar raya tidak berdepan sebarang kesukaran untuk mendapatkan bekalan dalam tempoh yang singkat.
Sebelum ini, kerajaan menyatakan bekalan minyak masak peket tidak mengalami sebarang gangguan bekalan yang kritikal.
Sebaliknya, kekurangan yang berlaku hanya melibatkan beberapa kawasan terpencil selain aduan yang diterima secara terus oleh pihak pengadu.
#minyak masak peket #peniaga #peniaga runcit #kpdn
;