Peniaga rugi RM11,600 ditipu dalam urusan dapatkan kad MyPR

Bernama
Disember 7, 2021 18:07 MYT
Lelaki berusia 60 tahun itu berurusan dengan seorang wanita selepas menghubungi talian telefon yang tertera di iklan tersebut. - Gambar hiasan
JEMPOL: Seorang peniaga mendakwa kerugian RM11,600 selepas ditipu dalam urusan mendapatkan Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) yang ditawarkan menerusi iklan di laman sosial Facebook, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata lelaki berusia 60 tahun itu berurusan dengan seorang wanita selepas menghubungi talian telefon yang tertera di iklan tersebut, pada 1.08 petang 10 November lepas.
Katanya, urusan itu adalah bagi mendapatkan Kad MyPR untuk pekerja dan rakan mangsa yang mempunyai pasport dan permit yang sah.
"Tertarik dengan tawaran sekeping kad MyPR berharga RM4,800, lelaki berkenaan bersetuju untuk mendapatkan kad itu untuk seorang rakan dan pekerjanya dengan kos berjumlah RM9,600," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hoo berkata peniaga itu telah membuat enam transaksi berjumlah RM11,600, termasuk bayaran tambahan RM2,000 bagi setiap kad, mulai hari yang sama (10 Nov) sehingga 30 November, serta turut didesak menyelesaikan bayaran tambahan RM2,000 bagi sekeping lagi kad.
Bagaimanapun setelah mendapati urusan tersebut adalah tidak sah, mangsa membuat laporan polis dan hasil siasatan awal mendapati kes tersebut mempunyai kaitan dengan satu lagi kes melibatkan kad MyPR di Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
-- BERNAMA
#sindiket #mangsa penipuan #kad MyPR #PDRM
;