Peniaga rugi kira-kira 50-70 peratus selepas tanah jerlus di Masjid India
Bernama
Ogos 30, 2024 09:00 MYT
Ogos 30, 2024 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Peniaga rugi kira-kira 50 hingga 70 peratus dalam hasil jualan susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat lalu, sehingga ada yang sanggup menghentikan operasi buat sementara waktu bagi mengelakkan kerugian yang lebih besar.
Pada Jumaat lepas, seorang wanita warga India yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Pengusaha gerai makan, Md Daud Mohd Jonid, 61, berkata kepada Bernama, prestasi perniagaannya semakin merosot dengan hasil jualan susut sehingga 50 peratus selepas insiden malang menimpa wanita warga India itu.
Pada waktu petang selepas kejadian, terdapat gangguan bekalan air, yang mana ini telah berlarutan hingga Sabtu lepas menyebabkan perniagaannya terpaksa ditutup dan keadaan bertambah buruk setelah dilaporkan terdapat pula tanah jerlus lain berdekatan kawasan tersebut.
"Semalam (28 Ogos) jualan saya jatuh hampir setengah (50 peratus), hari ini (29 Ogos) (jualan kami) lagi teruk. Hari-hari biasa jualan saya adalah sekitar RM3,000 lebih sehari, semalam (28 Ogos) saya hanya dapat RM2,000 sahaja.
"Benda (insiden) ini tidak dirancang, tadi saya ada bincang dengan pekerja ingat nak tutup kedai sementara. Pekerja kalau diberi cuti dan tidak bergaji, lama-lama mereka juga tidak tahan dan akan mencari kerja lain untuk terus hidup," katanya.
Beliau yang sudah berniaga hampir 28 tahun di kawasan itu berkata antara masalah yang dihadapinya adalah menyediakan upah pekerja harian walaupun operasi perniagaan tidak menguntungkan.
"Satu hari gaji pekerja saya adalah RM700 (kesemua enam orang pekerja), kalau tidak niaga pun saya kena siapkan duit itu, kalau kena pakai duit sendiri, sehari dua okay lagi," katanya.
Walaupun menggunakan khidmat penghantaran makanan, Md Daud berkata disebabkan kawalan ketat dan terdapat banyak pita kuning, ianya agak menyukarkan pergerakan penghantar makanan kerana mereka terpaksa buat pusingan jauh untuk ke kedainya.
"Setakat ini, saya memang niaga dekat sini sahaja dan tiada perancangan untuk mencari kawasan lain.
"Saya harap agar kerajaan dapat bantu peniaga-peniaga seperti kami untuk pulih, saya percaya insiden ini mungkin tidak lama (bersifat sementara atau sehingga mangsa ditemui), kalau dapat diselesaikan secepat mungkin, saya harap semua akan baik," katanya.
Sementara itu, peniaga kecil yang mengusahakan jualan baju jersi, Nadiah Galib berkata dahulu hasil jualan sehari boleh mencecah RM200 tetapi selepas insiden tanah jerlus itu, beliau hanya meraih RM20 sahaja hasil jualan sehari.
"Perniagaan saya dilihat semakin terjejas serta sekiranya pengunjung terus berkurangan mungkin saya akan beralih untuk berniaga secara dalam talian seperti Shopee dan Lazada.
"Kita sedih atas kejadian yang menimpa wanita itu dan kita harap kerajaan terus ambil tindakan pantas sehingga wanita berkenaan dijumpai," katanya.
Turut senada, Nurul Tasnim, peniaga minyak wangi berkata hasil jualan menurun hampir 60 hingga 70 peratus sejak insiden tersebut dan akan beralih kepada perniagaan secara dalam talian sekiranya terdesak.
"Setakat ini, saya masih meneruskan perniagaan seperti biasa dan jika keadaan semakin memburuk, saya berfikir mahu menjalankan perniagaan secara dalam talian," katanya.
Berdasarkan pemerhatian penulis, kawasan di sekitar Masjid India kelihatan suram dengan aliran pengunjung yang sangat rendah dan pelbagai jenis perniagaan dilihat tidak beroperasi selain kawalan ketat oleh pihak berkuasa di sekitar kawasan terbabit.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, tiada keperluan untuk mengisytiharkan kawasan Masjid India yang terlibat dengan tanah jerlus sebagai zon tidak selamat dan bencana.
Beliau berkata jika mahu mengisytiharkan sesuatu kawasan itu selamat atau tidak, polis perlu mendapatkan kebenaran khas daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan bahawa Kuala Lumpur masih selamat kepada orang ramai.
Mengulas mengenai kebimbangan sesetengah pihak susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat lepas, beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika berada di kawasan insiden tanah jerlus itu.
Persatuan Perniagaan Jalan Masjid India (MIBA) dan Persatuan Pemborong Jalan Batu (BARRA) menggesa agar satu pertemuan diadakan bersama Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan jabatan-jabatan berkaitan dalam masa terdekat.
Ketua Perhubungan BARRA Datin Rohana Mohammad Nasir berkata pertemuan itu antaranya bagi mendapatkan jaminan keselamatan di kawasan tersebut, selain ingin mengetahui tindakan penguatkuasaan selanjutnya.
Beliau berkata penjelasan termasuk jaminan itu penting kerana ia akan meyakinkan para penghuni dan peniaga bahawa kawasan itu masih selamat serta terkawal sekaligus memastikan orang ramai terus mengunjungi dan membeli belah seperti sebelum ini.
"Duduk dan berbincang dengan kami apakah tindakan yang akan dilakukan dengan secepat mungkin. Kita faham pencarian mangsa sedang dilakukan, sementara ia dijalankan kenapa tiada yang datang berjumpa dengan pemilik-pemilik bangunan dan pemilik perniagaan.
"Kita berasa kecil hati, kalau apa yang berlaku tujuh hari lepas ramai pegawai-pegawai kerajaan yang telah datang membuat persidangan tetapi seorang pun tidak menjemput kami sebagai pemilik perniagaan. Kenapa?
"Kita di sini 24 jam satu hari, kita hidup di sini sudah berpuluh-puluh tahun, kita tahu keadaan jalan macam mana, keadaan trafik macam mana, keadaan pergerakan pelanggan macam mana," katanya.
Beliau berkata yang lebih mendukacitakan lagi apabila menteri datang membuat liputan dengan media tetapi peniaga dihalang : "Kami memang betul-betul dihalang daripada berjumpa dengan mana-mana Menteri. Kenapa?".
"Selain itu, jalan pesiar kaki semua sudah mula tidak rata, jadi, kalau perkara ini berlanjutan saya rasa banyak lagi perkara yang tidak diingini akan berlaku," katanya.
Setiausaha MIBA, Mohamad Shaifudeen berkata jalan tidak rata adalah perkara yang perlu diberi perhatian dan tidak dapat diselesaikan dengan mudah, sekiranya tindakan dari segi 'tampalan' misalnya tidak dapat dilaksanakan segera.
"Kalau mereka tergesa-gesa, membuat keputusan tanpa memikirkan kesan jangka panjang, ini adalah sesuatu yang kurang berkesan, kita risau sebab dekat sini pengguna jalan antaranya kanak-kanak termasuk mereka yang berkerusi roda.
"Kita khuatir pada masa yang akan datang kalau kita tergesa-gesa hari ini, segalanya tidak berguna sebab perkara yang sama boleh berlaku pada masa akan datang," katanya.
Antara persoalan pelanggan adalah 'Adakah selamat untuk datang?', katanya.
Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif memaklumkan kawasan di Jalan Masjid India selamat dan terkawal selepas disahkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Mohamad Shaifudeen berpendapat kebimbangan keselamatan hanya menjadi perhatian sejak kebelakangan ini 'Saya rasa kita juga telah terlepas pandang, kita fikir jalan-jalan ini adalah selamat sehingga insiden Jumaat lepas dan kita semua terkejut, risau."
"Kita sudah maklum pada pihak berkuasa supaya menyelesaikan usaha pemetaan, sekurang-kurangnya kita tahu jalan yang tidak terlibat bagi keselamatan kita, tambah lagi jika ia diperakui oleh ahli geologi, kalau ada jalan-jalan yang selamat, orang-ramai tidak perlu pusing sehingga 100 meter, 200 meter, kedai-kedai pun boleh beroperasi seperti biasa.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan sehingga kini dan sudah memasuki hari kelapan.
-- BERNAMA