Peniaga rugi hampir RM150,000 beli Mercedes Benz dalam talian

Abd Razak Mohd Ali
Ogos 13, 2024 05:20 MYT
Siasatan awal mendapati, pada 15 April lalu, mangsa telah melihat iklan penjualan kereta jenis Mercedes Benz GLA 200 AMG Sport 4MATIC 1.3A melalui Facebook dan menekan pautan yang tertera. -Gambar hiasan
IPOH: Impian seorang peniaga dari Gerik untuk memiliki sebuah kereta mewah jenis Mercedes Benz tidak kesampaian, sebaliknya kerugian RM147,600 ditipu pembelian secara dalam talian.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 53 tahun pada Selasa minggu lalu.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, pada 15 April lalu, mangsa telah melihat iklan penjualan kereta jenis Mercedes Benz GLA 200 AMG Sport 4MATIC 1.3A melalui Facebook dan menekan pautan yang tertera.
“Mangsa telah berhubung dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai jurujual di sebuah syarikat jualan kereta di Selangor.
“Mangsa telah ditawarkan harga jualan kereta tersebut sebanyak RM113,000 dan ansuran bulanan sebanyak RM1,328.80.
“Mangsa juga diyakini bahawa telah memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah iPad,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Azizi berkata, selepas tertarik dengan tawaran yang diberikan, mangsa telah membuat pembayaran wang pendaftaran sebanyak RM2,680 ke dalam akaun bank yang diberikan suspek dan dijanjikan penghantaran kereta kepada mangsa pada 19 April lalu.
Menurutnya, bermula 17 April hingga 25 Julai lalu, mangsa telah membuat 32 transaksi bayaran ke dalam sembilan akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM144,920 bagi pelbagai tujuan seperti insurans, cukai jalan, permit dan duti import, pengaktifan akauan, surat perjanjian jual beli dan duti stem.
Namun, katanya, suspek masih meminta mangsa membuat bayaran seterusnya berjumlah RM20,000 bagi bayaran perjanjian jual beli yang tamat tempoh dan duti stem.
“Bagaimanapun, mangsa yang mulai curiga dan merasakan proses pembelian terlalu rumit dan sukar telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan sebelum membuat pembelian di samping jangan mudah percaya dengan iklan jualan yang menawarkan harga murah.
#Facebook #peniaga #Mercedes Benz GLA 200 AMG Sport 4MATIC #pembelian dalam talian