Peniaga positif COVID-19, Pasar Besar Bahau ditutup 14 hari

Shuhada Abdul Kadir
April 26, 2020 15:33 MYT
Kesemua 60 peniaga di Pasar Besar Bahau diarahkan untuk menjalani ujian saringan di Medan Niaga Kiara pagi esok. - Gambar Astro AWANI
Pasar Besar Bahau, di sini ditutup selama 14 hari bermula esok sehingga 10 Mei ini bagi proses sanitasi selepas seorang peniaga di pasar berkenaan disahkan positif pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh berkata, peniaga berumur 44 tahun itu dipercayai ada kaitan dengan kluster Pasar Borong Selayang, Selangor.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mewajibkan kesemua 60 peniaga di pasar awam itu menjalani ujian saringan di Medan Niaga Kiara, di sini bermula 8.30 pagi esok.
“Selain 60 peniaga di pasar awam itu, kita juga telah mengarahkan kira-kira 40 lagi kontak rapat pesakit untuk menjalani saringan pada esok.
“Keadaan di kawasan sekitar masih lagi terkawal dan orang ramai tidak perlu panik,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Syahrul Nizam, orang ramai juga dinasihatkan mengamal kebersihan diri, kekal di rumah dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau merangkap Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong dalam kenyataannya turut memohon kerjasama semua peniaga dan kontak rapat peniaga berkenaan untuk tampil membuat saringan pada esok.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan rantaian wabak berkenaan tidak merebak kepada penduduk setempat.

#bahau #COVID19 #ditutup 14 hari #Jempol #kluster Pasar Borong Selayang #Medan Niaga Kiara #Negeri Sembilan #Pandemik COVID-19 #Pasar Besar Bahau #proses sanitasi #ujian saringan
;