Peniaga perlu pamer harga upah potong ayam dengan jelas
Astro Awani
Julai 1, 2022 18:31 MYT
Julai 1, 2022 18:31 MYT
KUANTAN: Peniaga yang mengenakan cas tambahan 'memotong' ayam perlu mempamerkannya pada tanda harga sebagai sebagai cas perkhidmatan.
Walaupun perkhidmatan itu tidak menyalahi sebarang peraturan ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun, pelanggan mempunyai hak untuk menolak perkhidmatan tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Pahang, Muhamad Radzi Johari, setakat ini pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak memaparkan tanda harga sahaja dan bukan cas tambahan memotong ayam.
“Pihak peniaga perlulah meletakkan tanda harga yang jelas, maknanya kalau katakan dia (peniaga) mengambil kos untuk memotong (ayam), maka tanda harga bagi kos tersebut perlulah dipamerkan dengan jelas supaya ia menjadi satu option (pilihan) kepada pengguna sama ada sanggup untuk membayar kos tersebut bagi tujuan pemotongan ataupun membeli pada sekadar harga yang telah ditetapkan sahaja,” katannya.
Muhamad Radzi berkata demikian kepada media selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan sempena penentuan harga maksimum ayam dan telur ayam (PHMATA) di sebuah pasar raya di sini, pada Jumaat.
Beliau turut memaklumkan, hasil pemeriksaan dan pemantauan PHMATA, semua barangan didapati dijual mengikut harga maksimum yang ditetapkan.