Peniaga, penjaja dinasihat beri kerjasama kepada MPP, PBT

Farhana Joni
November 15, 2020 09:48 MYT
Annuar Musa menasihatkan peniaga dan penjaja beri kerjasama kepada MPP dan PBT. -Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Para peniaga dan penjaja yang merebut peluang menjana pendapatan menerusi inisiatif Wilayah Bebas Berniaga dinasihatkan supaya patuh peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata nasihat yang sama diberikan kepada peniaga-peniaga muda di bawah Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota.
BACA: Kuala Lumpur 'wilayah bebas berniaga' mulai 15 November - Annuar Musa
Katanya, mereka juga perlu memberi kerjasama kepada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) kerana pertubuhan tersebut turut memiliki kuasa memantau keadaan para peniaga.
"Mohon semua peniaga beri kerjasama kepada Majlis Perwakilan Penduduk sebab saya dah beri kuasa kepada mereka untuk menyelaras dan bantu PBT.
"Walaupun kita memberi peluang kepada para penjaja dan peniaga menjalankan perniagaan tapi saya nak mereka susun secara teratur dan patuh peraturan PBT," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Pemberian Lesen Penjaja di Desa Pandan pada Ahad dan menyampaikan lesen penjaja kepada 50 peniaga.
Program tersebut turut dimuat naik menerusi akaun Facebook, Kementerian Wilayah Persekutuan.
Jelas Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, para peniaga dan penjaja boleh merujuk garis panduan dan peraturan berniaga di laman web Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Kena ingat bukan semua tempat boleh pacak gerai, kena membuat rundingan dengan MPP dan bekerjasama dengan bandar raya.
"Bagaimanapun, saya gembira sebab sambutan menggalakkan malah dimaklumkan ada beberapa peniaga di luar Wilayah mulai datang ke sini untuk berniaga," katanya.
Dalam pada itu, Annuar turut mengingatkan para peniaga supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan peningkatan kes jangkitan di Lembah Klang termasuk Wilayah Persekutuan.
"Kalau semua beri kerjasama, sambil-sambil kita kawal keadaan menerusi PKPb semua orang boleh cari makan," katanya.
#Tan Sri Annuar Musa #Menteri Wilayah Persekutuan #penjaja #peniaga #gerai #Lembah Klang #DBKL #wilayah bebas berniaga #Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota #pbt #MPP
;