Peniaga, penjaja di ibu kota sedia untuk 'E-Bazar Ramadan' sepanjang PKP

Bernama
April 12, 2020 10:57 MYT
Lebih 3,000 peniaga dan penjaja berlesen di sekitar ibu kota bersedia untuk melaksanakan konsep 'E-Bazar Ramadan' kepada pelanggan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Gambar fail/Astro AWANI
Lebih 3,000 peniaga dan penjaja berlesen di sekitar ibu kota bersedia untuk melaksanakan konsep 'E-Bazar Ramadan' kepada pelanggan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden Persatuan Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata meskipun tiada Bazar Ramadan pada tahun ini, perniagaan berasaskan makanan masih lagi boleh diteruskan secara 'pandu-lalu', 'pilih dan bungkus' serta penghantaran 'e-hailing'.
Beliau berkata, menerusi 'E-Bazar Ramadan', pihaknya sedang mengenal pasti syarikat e-hailing yang sudi bekerjasama dengan mereka dalam memastikan juadah berbuka puasa dapat dihantar kepada pelanggan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kami masih lagi dalam perbincangan untuk membangunkan sistem ini. Memandangkan PKP ini turut menggusarkan kebanyakan peniaga dan penjaja kerana bimbang tidak dapat berniaga sepanjang bulan Ramadan, jadi sekurang-kurangnya kaedah ini dapat membantu mereka menjana pendapatan.
"Kami turut akan membangunkan satu aplikasi khas untuk tujuan itu namun tertakluk kepada persetujuan pelbagai pihak, termasuk syarikat e-hailing dan para penjaja Bazar Ramadan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, pihaknya turut akan bekerjasama dengan lebih 400 trak sajian di sekitar ibu kota bagi membantu penjaja memasarkan makanan mereka.
"Misalnya, penjaja boleh menyediakan makanan seperti makanan berbungkus dan kuih-muih di rumah dan kemudian dihantar ke trak sajian di kawasan berdekatan dengan lokasi masing-masing.
"'Trak sajian ini akan membantu mereka menjual makanan sama ada menerusi e-hailing, 'pandu-lalu' ataupun 'pilih dan bungkus'," katanya.
Beliau berkata, pihaknya menganggarkan kesesakan akan berlaku memandangkan ramai pelanggan dan penghantar 'e-hailing' akan menuju ke lokasi 'pick up' untuk mengambil makanan mereka terutamanya ketika waktu kemuncak.
"Namun, kami telah memaklumkan kepada DBKL dan RELA untuk mengerahkan anggota penguatkuasanya untuk memantau pergerakan orang ramai dan para 'rider' sepanjang proses 'pandu-lalu' dan 'pick up' bagi memastikan mereka mematuhi jarak sosial," katanya.
Rabu lepas, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata tiada bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19.
Beliau dipetik sebagai berkata, bagaimanapun tiga kaedah alternatif akan diperkenalkan bagi menggantikan bazar Ramadan iaitu 'pandu-lalu', 'pilih dan bungkus' serta penghantaran secara 'e-hailing'.
Umat Islam di seluruh negara dijangka menyambut 1 Ramadan pada 24 April ini.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #coronavirus #COVID-19 #DBKL #e-bazaar Ramadan #Kementerian Kesihatan #Kuala Lumpur #Ramadan #Tan Sri Annuar Musa