Peniaga Pasar Paka resah, pasar jutaan ringgit makin lusuh dan suram
Astro Awani
Februari 9, 2018 06:46 MYT
Februari 9, 2018 06:46 MYT
Peniaga di Pasar Paka di Dungun Terengganu merayu pihak berwajib agar menaiktaraf premis perniagaan di kawasan terbabit yang didakwa semakin uzur dan suram.
Keadaan tersebut dikatakan bertambah buruk apabila sistem saliran yang tidak sempurna mengakibatkan bau busuk dan menjadi kediaman haiwan perosak.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, hanya 30 peniaga beroperasi di pasar dua tingkat yang dibina kira-kira enam tahun lalu dengan harga RM10 juta.
Menurut peniaga, Zayah Mohd Ariffin, 40 buah lot kedai masih terbiar berikutan kurang pelanggan.
"Masalahnya adalah kerana tidak ramai orang yang datang.
"Kalau ramai orang, ramailah yang buka kedai dan untung yang kami dapat hanya lepas untuk bayar sewa kedai," jelasnya.
Bagi seorang lagi peniaga Anuar Mohammad, kewujudan beberapa pasaraya baharu di kawasan terbabit turut menyumbang kepada masalah tersebut.
"Banyak kedai-kedai lain yang ada di sekitar pasar ini.
"Ramai orang akan pergi ke pasaraya-pasaraya yang ada sekitar kawasan ini," jelasnya.
Tambah peniaga, Mukrimah Abdullah, paip bocor dan longkang tersumbat menjadi satu lagi punca orang ramai tidak berkunjung ke pasar terbabit.
"Masalah paip air telah lama berlaku dan ia tidak diselenggara dengan baik.
"Tangki air dengan masalah pelampung itu juga telah lama tidak dibaiki dan air mengalir setiap hari.
"Lagi satu, tikus, nyamuk dan macam-macam lagi ada di sini dan saya yakin ia disebabkan oleh masalah longkang tersumbat," jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Parlimen Dungun, Datuk Din Adam ketika dihubungi berkata Majlis Perbandaran Dungun, (MPD) akan membaiki kerosakan di pasar berkenaan bagi mengatasi masalah yang dihadapi peniaga.
Manakala lot kedai yang terbiar kosong akan diberikan kepada pengusaha yang layak.
Menurutnya, pihaknya juga sedang berbincang dengan MPD untuk memulihkan imej pasar berkenaan dengan wajah baru yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.