Peniaga pasar malam didakwa rogol anak tiri
Abd Razak Mohd Ali
Februari 8, 2021 12:19 MYT
Februari 8, 2021 12:19 MYT
IPOH: Seorang peniaga pasar malam didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas tiga tuduhan merogol anak tirinya yang berusia 14 tahun, tahun lalu.
Tertuduh yang berumur 49 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah, apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa di sebuah rumah di Ayer Tawar antara jam 2 hingga 3.30 petang pada Jun, Julai dan Disember tahun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376 B (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh tinggal berhampiran kira-kira 50 meter dari tempat tinggal mangsa.
Bagaimanapun pihak peguambela memohon tertuduh diberi jaminan dengan beberapa syarat tambahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan di samping dilarang mengganggu mangsa.
Mahkamah turut menetapkan 11 Mac depan sebagai sebutan semula kes untuk laporan kimia dan perubatan mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Shahrul Nizam Mohd Rabi.