Peniaga pasar borong akur waktu perniagaan dipendekkan
Bernama
Mac 22, 2020 16:37 MYT
Mac 22, 2020 16:37 MYT
Para peniaga di Pasar Borong Gong Pauh di sini akur dengan arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan untuk memendekkan waktu operasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan kerajaan untuk mengekang penularan COVID_19.
Tinjauan Bernama di satu-satunya pasar borong di Kuala Terengganu itu mendapati para peniaga mula mengemas dan mencuci premis perniagaan mereka seawal 8.30 pagi dan semua premis perniagaan ditutup sepenuhnya pada 9 pagi.
Ini berikutan arahan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang hanya membenarkan pasar borong beroperasi dari 3 pagi hingga 9 pagi, berkuat kuasa semalam.
Selain kedengaran pengumuman penutupan pasar melalui pembesar suara, turut kelihatan beberapa anggota penguat kuasa MBKT yang melakukan pemantauan bagi memastikan para peniaga mematuhi arahan itu.
Orang ramai dan peniaga di situ juga dilihat mematuhi langkah-langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 dengan memakai topeng muka dan sarung tangan.
Para peniaga terutama peniaga ikan pula mengambil kesempatan saat akhir sebelum menutup pasar dengan menawarkan harga lebih murah.
Rahmat Wahab, 59, berkata dia menawarkan harga yang lebih murah bagi mengelakkan hasil laut yang dijualnya seperti ikan dan sotong menjadi busuk.
"Sebelum ini pasar ditutup antara jam 10 pagi hingga 11 pagi tetapi kini 9 pagi sudah kena tutup, banyak lagi ikan yang tidak terjual jadi saya tawar pada harga murah.
"Seperti semalam beberapa kilo sotong tidak terjual jadi saya sedekah sahaja kepada orang ramai. Daripada jadi busuk dan membazir lebih baik saya bersedekah," katanya ketika ditemui Bernama pasar itu hari ini.
Bagi peniaga buah Norlida Razali, 42, pula berpendapat pematuhan tempoh operasi perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan merupakan tanggungjawab para peniaga untuk membantu mencegah penularan wabak itu.
"Memanglah jualan agak menurun sejak arahan dikeluarkan tetapi tidak mengapa kerana ia hanya bersifat sementara. Daripada kita rugi lebih banyak pada masa depan kerana COVID-19 lebih baik kita rugi sedikit sekarang," katanya.
MBKT turut menetapkan semua pasar raya (bahagian peruncitan sahaja), pasar awam, farmasi, kedai runcit dan kedai serbaneka serta premis perkhidmatan penting negara hanya beroperasi dari 7 pagi hingga 6 petang manakala semua klinik hanya dibenarkan beroperasi dari 7 pagi hingga 9.30 malam.
Sementara itu di sekitar pasar raya utama di Kuala Terengganu, orang ramai dilihat mematuhi arahan hanya ketua keluarga atau wakil sahaja yang membeli barangan menjadikan persekitaran agak lengang.
Rohayati Deraman, 45, yang ditemui pemberita berkata arahan itu suatu keputusan yang baik dan dapat mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 yang mudah berjangkit melalui sentuhan.
"Kalau ada nak beli barang atau urusan lain, hanya saya atau suami yang akan keluar dan anak-anak duduk diam-diam di rumah sehingga wabak ini pulih sepenuhnya," katanya yang mempunyai enam orang anak.
-- BERNAMA
#COVID-19
#koronavirus
#pasar borong
#Pasar Borong Gong Pauh
#pbt
#perintah kawalan pergerakan
#pihak berkuasa tempatan