Peniaga naikkan harga santan berdepan tindakan tegas - Hamzah

Bernama
Disember 18, 2016 08:06 MYT
Harga kelapa minggu lalu dilaporkan mencecah sehingga RM2.20 sebiji sehingga menyebabkan kenaikan harga santan segar hingga RM9 sekilogram. - Gambar fail
Peniaga kelapa yang didapati menaikkan harga santan segar dengan sewenang-wenangnya akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan 2011.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata hari ini sebarang proses kenaikan harga perlu diberi penilaian sewajarnya tanpa memberi kesan buruk kepada pengguna.
Anggota Parlimen Larut itu bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat agung Persatuan Anak-Anak Sungai Bayor Selama Perak kali ke-3 dan Pembukaan Madrasah Al-Yamani Cawangan Sungai Bayor di Selama dekat sini.
Beliau diminta mengulas isu kenaikan harga kelapa minggu lalu yang mencecah sehingga RM2.20 sebiji sehingga menyebabkan kenaikan harga santan segar hingga RM9 sekilogram. -- Bernama
#Hamzah Zainudin #harga santan naik #kelapa
;