Peniaga maut kereta bertembung treler di Bukit Besi
Sharom Abu Bakar
Julai 26, 2016 11:47 MYT
Julai 26, 2016 11:47 MYT
Seorang peniaga kedai makan maut apabila kenderaan yang dipandunya terbabas lalu bertembung sebuah treler dengan muatan kelapa sawit.
Kejadian berlaku di kilometer 72.9 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Bukit Besi, Dungun, Terengganu sekitar jam 8.10 malam Isnin.
Syed Roslim Syed Ahli, 26 tahun yang tersepit di tempat duduk meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Mangsa dari Kuala Terengganu itu dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kemaman selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan dan dirempuh di bahagian sisi kiri sebelum diseret sejauh 20 meter.
Menurut pemandu treler, M. Zaidi Long , 37 tahun kejadian berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke kilang pemprosesan kelapa sawit di Ajil, Hulu Terengganu.
“Kereta tu datang dari arah Jerangau menghala ke Bukit Besi... saya dari Kemaman menghala ke Kuala Berang, tiba-tiba kereta itu (berada) di tengah jalan ini.
“Dia terbabas dan berpusing... saya cuba elak ke kanan, tiba-tiba kereta itu masuk balik ke sebelah kanan balik,” kata Zaidi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) Jas Wari Awang berkata, sebuah jentera bersama enam anggota mengambil masa kira kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa.
“Kesukaran untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di pintu tempat duduk penumpang dan kita telah menggunakan peralatan khas untuk merenggangkan tempat duduk untuk mengeluarkan mangsa.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt. Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian terbabit.
Kes disiasat dibawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jenazah mangsa bawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat.