Peniaga lega Pasar Sentral Sibu beroperasi kembali

Khairuddin Rushdi Ayuphan
Mac 2, 2021 17:43 MYT
Jumlah pengunjung dihadkan kepada 150 orang pada satu-satu masa bagi memastikan keselamatan pengunjung dan peniaga terjamin. FOTO: Astro AWANI
SIBU: Peniaga Pasar Sentral Sibu kini mampu menarik nafas lega apabila pasar sentral tersebut dibenarkan beroperasi semula bermula Isnin.
Biarpun bilangan pengunjung masih tidak ramai, namun ia sedikit sebanyak mampu menjana pendapatan peniaga di sana selepas hampir tiga minggu pasar itu ditutup susulan penularan COVID-19.
Bagi seorang peniaga, Nilly Ebo, dia gembira kerana dapat kembali beroperasi seperti biasa dan berharap pengunjung memberi kerjasama dengan mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan.
“Saya rasa lega setelah tiga minggu tutup baru semalam dapat buka, dapat juga berniaga, rasa gembira lah.
“Setakat ini, mungkin ramai yang belum tahu akan pembukaan semula pasar sentral ini dan saya berharap agar pengunjung mematuhi SOP digariskan supaya kita terhindar daripada virus COVID-19,” katanya.
Manakala bagi Sebai Serin yang bergantung sumber pendapatannya melalui perniagaan mengharapkan agar lebih ramai pengunjung hadir ke pasar sentral itu.
“Bagus sebab dah dapat berniaga semula untuk cari pendapatan, kalau tidak memang tiada sumber pendapatan lain kerana saya dah berusia dan bergantung sepenuhnya kepada jualan sayur-sayuran ini.
“Ketika ini, pengunjung yang datang masih tidak ramai kerana baru dibuka mungkin nanti apabila keadaan dah terkawal, mungkin ramai yang akan datang,” kata Sebai.
Menerusi tinjauan AWANI Sarawak juga, masih ada dalam kalangan peniaga yang belum memulakan operasi atas faktor keselamatan.
Sementara itu, menurut pengawal keselamatan Pasar Sentral Sibu, Luwis Bawin, jumlah pengunjung dihadkan kepada 150 pengunjung di lima pintu masuk pasar itu pada satu-satu masa bagi memastikan keselamatan pengunjung dan peniaga terjamin.
“Untuk orang awam yang hadir, seperti yang ditetapkan memang kena imbas kod My Sejahtera atau mencatat butiran peribadi mereka.
“Setakat ini, tiada masalah terhadap tahap pematuhan dilaporkan,” kata Luwis.
Pasar Sentral Sibu ditutup bermula 8 Februari sehingga 28 Februari 2021 berikutan peningkatan kes COVID-19 yang dikesan di pasar tersebut.
#Pasar Sentral Sibu #COVID-19 di Sibu #kes positif di Sibu #kluster aktif di Sibu #pembukaan pasar sentral Sibu #SOP COVID-19 #peniaga di Pasar Sentral Sibu
;