Peniaga Langkawi minta hentikan isu 'pulau hantu'

Sinar Harian
November 14, 2023 16:13 MYT
Suasana di Restoran Bamboo Chenang beberapa hari lalu. - Gambar/ Sinar Harian
ALOR SETAR: Peniaga di Pulau Langkawi memohon orang ramai menghentikan isu 'pulau hantu' yang dianggap sengaja ditimbulkan sehingga menjadi bualan hangat kebelakangan ini.
Pengusaha Restoran Bamboo Chenang, Mior Johan Johari berkata, sektor pelancongan di pulau legenda itu masih berjalan seperti biasa malah rancak pada cuti sambutan perayaan Deepavali pada Ahad.
Katanya, fenomena pelancong kurang pada hari biasa juga bukan sesuatu yang pelik sehingga Langkawi boleh diberi jolokan 'pulau zombie'.
"Normal lah kalau hari Isnin sampai Khamis, orang semua kerja, tetapi kalau hujung minggu ramai sahaja yang masuk ke sini.
"Malah semalam (Isnin) pun ada kapal persiaran mewah berlabuh di sini, semua mai makan bayar guna dolar," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Menurutnya, jolokan 'pulau hantu' dan 'pekan zombie' kepada pulau legenda itu boleh memberi gambaran buruk kepada pelancong luar yang berkira-kira hendak melancong ke Langkawi.
"Saya harap hentikan isu ini dan kepada yang merancang hendak melancong ke sini kami mengalu-alukan kedatangan anda, Langkawi masih sama seperti dulu," katanya.
Sementara itu, pengusaha Langkawi Country Lodge, Norhayati Abdullah berkata, dia masih menerima sambutan yang sama dalam kalangan pelancong luar yang tinggal di rumah penginapannya.
"Tempahan saya juga penuh, ramai sahaja mat salih yang masuk ke Langkawi. Cuma tidaklah mereka setiap masa berjemur di Pantai Chenang.
"Ini kerana saya menyediakan banyak aktiviti kepada mereka seperti memasak dan berjumpa penduduk kampung untuk mereka lebih mengenali budaya kita," katanya.
Tegasnya, dia juga menerima pelanggan yang sama saban tahun yang membuktikan Langkawi adalah tempat pilihan pelancong luar untuk bercuti.
"Mereka sangat memuji keindahan pulau kita, jangan pula kita sebagai masyarakat setempat menjatuhkan gred tempat kita sendiri," katanya. - Sinar Harian
#Langkawi #kehadiran pelancong #Hat Yai #pulau hantu
;