Peniaga kuih di Pulau Perhentian tetap buka kedai walau tiada pelancong
Bernama
Ogos 8, 2021 14:18 MYT
Ogos 8, 2021 14:18 MYT
KUALA BESUT: Penularan pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lepas memaksa sebilangan besar daripada 20 peniaga di Kedai Majlis Medan Selera Pulau Perhentian dekat sini menutup perniagaan apabila sektor pelancongan yang suram menjejaskan kehadiran pelanggan.
Namun peniaga kuih Siti Kartini A.Ghani, 49, beliau tetap membuka kedainya di medan selera itu demi kelangsungan hidup keluarganya, meskipun hasil jualan yang diperoleh tidak selumayan sebelum ini.
"Kalau ada pelancong kedai ini memang meriah dan ada juga resort-resort yang tempah kuih untuk pelancong yang menghuni resort mereka. Namun kini saya hanya harapkan orang kampung yang beli kuih," katanya ketika ditemui pemberita di Kedai Majlis Medan Selera Pulau Perhentian, di Pulau Perhentian di sini.
Ibu kepada 10 orang anak itu berkata beliau kini hanya memperoleh hasil jualan kira-kira RM100 sehari berbanding sehingga RM3,000 sehari termasuk jualan air sebelum ini, dan beliau mengaku pernah menggadai beberapa barang kemasnya sebelum ini demi menampung kelangsungan hidup.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Pulau Perhentian Zainuddin Mohd, 52, berkata penutupan sektor pelancongan memaksa sebilangan besar penduduk mengusahakan kebun dengan menanam pelbagai jenis tanaman.
Bagaimanapun menurutnya hasil kebun di sini memang tidak seberapa dan perlu menunggu sehingga dua atau tiga bulan untuk peroleh hasil.
"Jadi kehidupan sebahagian penduduk di sini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau durian pun tidak semua penduduk ada kebun durian peninggalan nenek moyang mereka.
"Sebelum ini kita tumpu kepada sektor pelancongan yang hasilnya cepat dapat, jadi apabila beralih ke sektor pertanian ini perlu makan masa sikit. Lagipun kita sudah lama tidak bercucuk tanam dan sudah tidak mahir," katanya sambil memberitahu 95 peratus daripada lebih 2,000 penduduk bekerja dalam sektor pelancongan.
Zainuddin berkata Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan Pulau Perhentian yang dijalankan terhadap penduduk dan penggiat pelancongan di pulau itu pada Khamis dan Jumaat lepas diharapkan dapat membolehkan sektor pelancongan dibuka semula dan kehidupan penduduk kembali seperti sediakala.
-- BERNAMA